VAN Dijk (kanan) tak sabar benam bekas kelabnya. -Foto Reuters
VAN Dijk (kanan) tak sabar benam bekas kelabnya. -Foto Reuters
Reuters

LONDON: Pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk sudah bersedia mengharungi sambutan ‘keras’ ketika kepulangan semulanya ke Southampton tetapi menegaskan fokusnya adalah menewaskan bekas kelabnya itu.

Liverpool menjadikan pemain kelahiran Belanda, Van Dijk sebagai pertahanan termahal di dunia selepas membelanjakan £75 juta (RM408.7 juta) pada jendela perpindahan Januari lalu selepas percubaan sebelum ini gagal.

Van Dijk, yang mengharungi aksi turun naik di Anfield, kembali ke Southampton buat kali pertama sejak perpindahannya ke Anfield dan cukup sedar apa yang peminat kelab itu akan lakukan terhadapnya.

“Mungkin mereka boleh mengejek saya sepanjang perlawanan. Anda tidak boleh berbuat apa-apa mengenainya,” kata Van Dijk.

“Jelas sesuatu yang baik untuk bertemu kembali pemain dan rakan saya di sana tapi bagi saya, ia hanyalah mengenai satu perkara saja dan ia untuk memenangi perlawanan.”

Van Dijk menjaringkan gol kemenangan pada penampilan sulungnya di Liverpool ketika menewaskan Everton 2-1 pada pusingan ketiga Piala FA bulan lalu sebelum mengalami kecederaan ketika kemenangan ke atas pendahulu Liga Perdana, Manchester City.

Liverpool hanya menang sekali sejak Van Dijk berada dalam pasukan, tewas 2-3 kepada West Brom dan seri 2-2 dengan Tottenham Hotspur, Ahad lalu termasuk memberikan penalti yang disempurnakan Harry Kane.

“Dengan corak permainan kami yang menumpukan kepada menekan lawan, pelbagai pilihan untuk pemain, ia jelas sesuatu yang berbeza di sini,” katanya.

“Jadi anda memerlukan masa untuk membiasakan diri tapi saya bekerja keras setiap hari bersama pasukan.

“Perkara yang paling penting adalah apa yang boleh berlaku di Melwood dan orang yang menyokong pasukan ini... orang lain, peminat kelab lain, pengkritik, mereka mempunyai pandangan masing-masing tapi ia tidak mengganggu saya.

“Saya bercakap dengan pengurus dan sesiapa saja yang boleh membantu saya. Saya mahu terus meningkat dan mencari prestasi terbaik dan itulah yang saya akan lakukan.”

Liverpool ketika ini berada di tangga ketiga liga selepas mengumpul 51 mata manakala Southampton di tangga ke-15 dengan 26 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2018 @ 7:46 PM