CALHANOGLU (kanan) sedang mengekang pemain Lazio. FOTO/AFP
CALHANOGLU (kanan) sedang mengekang pemain Lazio. FOTO/AFP
AFP

MILAN: Hakan Calhanoglu mensia-siakan peluang meledak jaringan ketika Lazio mengikat AC Milan 0-0 dalam aksi separuh akhir pertama Piala Itali di San Siro, awal pagi tadi dan keputusan hanya akan ditentukan di Rome bulan depan.

Pemenang perlawanan itu akan menentang sama ada Juventus atau Atalanta dengan skuad Massimiliano Allegri menang 1-0 di Bergamo semalam untuk berada di landasan tepat merangkul gelaran Piala keempat berturut-turut.

Namun skuad Gennaro Gattuso gagal meraih kemenangan keempat berturut-turut berdepan kelab Rome itu yang tewas 1-2 kepada Milan di San Siro Isnin lalu.

Peluang terbaik hadir menerusi Calhanoglu namun sepakannya tersasar melepasi palang di depang gawang yang tidak diawasi pada minit ke-75.

“Ia sebahagian daripada perlawanan, namun adalah penting untuk berada di tempat yang betul, pada akhir perlawanan dia kelihatan begitu teruk dan dunia bagaikan sudah berakhir,” kata Gattuso terhadap pemain Turki itu.

Penjaring terbanyak Serie A Ciro Immobile kembali daripada kecederaan namun turut terlepas beberapa peluang untuk memecah kebuntuan khususnya apabila tandukannya berjaya ditepis Gianluigi Donnarumma pada minit ke-62.

Sergej Milinkovic-Savic turut menguji keampuhan penjaga gol Donnarumma, sebelum tandukan pemain gantian Patrick Cutrone berjaya ditepis Thomas Strakosha namun bola lantunan yang disambut Calhanoglu tersasar melepasi gol yang tidak diawasi.

Perlawanan kedua bakal diadakan di Stadio Olimpico, 28 Februari ini.

Lazio mara ke final sebanyak tiga kali dalam tempoh lima tahun dan tewas pada 2015 dan 2017 kepada Juventus yang pernah menewaskan Milan pada 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2018 @ 8:12 AM