MUSA (dua dari kanan) menang tanpa bertanding. FOTO/FAIL
MUSA (dua dari kanan) menang tanpa bertanding. FOTO/FAIL
Ryan Stanley

DATUK Seri Musa Aman kekal Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) bagi sesi 2018-2022.

Beliau yang juga Ketua Menteri mengekalkan jawatan nombor satu persatuan berkenaan selepas menang tanpa bertanding pada Kongres SAFA yang berlangsung di sini, semalam.

Sementara itu, turut menang tanpa bertanding ialah dua penyandang jawatan Timbalan Presiden sebelum ini iaitu Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan dan Datuk Lawrence Gimbang.

Bagi empat jawatan Naib Presiden pula diisi dua muka baharu iaitu Benedict Asmat dan Datuk Harun Ismail manakala dua lagi iaitu Joehari Ayub serta Datuk Yusof Kassim mengekalkan jawatan yang disandang mereka itu, sebelum ini.

Joehari mendapat undi tertinggi iaitu sebanyak 34, diikuti Benedict (31), Harun (30), dan Yusof (26) manakala dua lagi penyandang sebelum ini yang turut bertanding iaitu Datuk Jahid Jahim serta Datuk Osman Jamal gagal mempertahankan jawatan mereka selepas masing-masing mendapat 25 dan 18 undi.

Sementara itu, lapan lagi yang terpilih bagi jawatan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) pula terdiri daripada Datuk Juil Nuatim yang mendapat 37 undi, Rosdi Wasli (31), Dr Chaco Buloh (33), Datuk Rahman Zakaria (29), Iman Ali (28), Osman Abdullah (27), Shamsudin Mohd Shah (27), Jimson Majemal (26).

Tiga lagi calon tidak berjaya menduduki jawatan berkenaan ialah Azman Mastar yang mendapat 22 undi, Benedict (18) dan Hussin Rahim (12). Bagaimanapun, Benedict dipilih untuk jawatan Naib Presiden.

Dalam pada itu, jawatan Setiausaha Agung, Penolong Setiausaha, Bendahari, Penolong Bendahari serta empat ahli bebas akan diisi secara lantikan.

Seramai 41 perwakilan daripada 24 SAFA daerah hadir pada kongres yang dirasmikan Lawrence mewakili Musa itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2018 @ 1:34 PM