MKHITARYAN (kiri) dan Sanchez dikatakan sedang jalani ujian perubatan dan menunggu permit kerja disahkan sahaja. -Foto Agensi
MKHITARYAN (kiri) dan Sanchez dikatakan sedang jalani ujian perubatan dan menunggu permit kerja disahkan sahaja. -Foto Agensi
AFP

LONDON: Penyerang Arsenal, Alexis Sanchez dan pemain tengah Manchester United, Henrikh Mkhitaryan akan menjalani ujian perubatan selepas perjanjian pertukaran dua pemain itu hampir muktamad, kata laporan.

Akhbar Mirror melaporkan Sanchez dijangka tiba di Manchester bersama ejen Fernando Felicevich, dengan ujian perubatan dijadualkan berlangsung pada petang Ahad (hari ini), sementara Sky melaporkan yang Mkhitaryan akan menjalankan ujian sama di London.

The Mirror berkata, tawaran itu mungkin tidak dapat diselesaikan secara rasmi hingga Isnin kerana Sanchez dan Mkhitaryan bukan pemain Eropah dan perlu mendapatkan permit kerja mereka yang disahkan oleh kelab baru.

Sanchez, 29, dijangka menjadi antara pemain bernilai tinggi United, dengan beberapa laporan meletakkan gajinya sebanyak £400,000 (RM2.18 juta) seminggu, sekali gus mencetus amaran daripada bekas pengurus England, Steve McClaren bahawa gajinya yang tinggi boleh menimbulkan suasana tidak harmoni di bilik persalinan.

Sky Sports News menunjukkan Mkhitaryan yang juga pemain antarabangsa Armenia berada di sebuah hotel di tengah London pada petang Sabtu bersama ejen Mino Raiola menjelang perpindahannya.

Pengurus Arsenal, Arsene Wenger dan pengurus United, Jose Mourinho, berkata mereka menjangkakan perjanjian dua hala antara pesaing dalam Liga Perdana Inggeris akan diteruskan.

“Saya menjangka tidak lama lagi (untuk selesaikan perpindahan dua pemain itu) atau ia tidak berlaku,” kata Mourinho selepas kemenangan 1-0 ke atas Burnley. “Saya fikir ia begitu dekat sekali, jika tidak berlaku ia tidak akan berlaku.”

Sky berkata, difahamkan ia boleh menjadi perjanjian pertukaran terus tetapi butiran terperinci masih belum dimuktamadkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2018 @ 11:29 PM