GUARDIOLA, pemilik kelab, Khaldoon al Mubarak dan beberapa pegawai tertinggi di City tidak gembira dengan gaji yang diminta Sanchez
GUARDIOLA, pemilik kelab, Khaldoon al Mubarak dan beberapa pegawai tertinggi di City tidak gembira dengan gaji yang diminta Sanchez
AFP

MANCHESTER: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola akur ‘tewas’ dalam pemburuan bagi mendapatkan tandatangan Alexis Sanchez ketika Jose Mourinho bertegas belum pasti sama ada penyerang Arsenal itu akan menyertai Manchester United.

City yang juga pendahulu Liga Perdana Inggeris ketika ini memiliki kelebihan 12 mata di atas United akan bermain di laman sendiri menentang Newcastle ketika skuad kendalian Mourinho, United beraksi di Burnley, malam ini.

Pemain kebangsaan Chile, Sanchez tampak bersedia untuk kembali disatukan dengan bekas pengurusnya di Barcelona, Guardiola sebelum City kemudian seperti kehilangan minat untuk mendapatkan khidmatnya, Isnin lalu.

Difahamkan, pengurus dari Sepanyol itu, pemilik kelab, Khaldoon al Mubarak dan beberapa pegawai tertinggi di City tidak gembira dengan gaji yang diminta penyerang itu.

Justeru, Sanchez mengubah haluannya untuk menyertai United dengan perjanjian dianggarkan selama empat setengah tahun dengan gaji mewah AS$701,000 dolar (RM2.76 juta) seminggu.

Guardiola berkata Sanchez dan ejennya, Fernando Felicevich lebih berminat dengan perpindahan ke Old Trafford berbanding fokus untuk menyertai Etihad tetapi menegaskan ia adalah hak mereka.

Katanya, beliau “seronok” bekerja bersama Sanchez ketika di Catalan, pemain yang ditandatanganinya untuk Barcelona dari Udinese pada Julai 2011.

“Saya bukannya lelaki yang bijak dengan matematik, dengan nombor,” kata Guardiola ketika sidang media, semalam. “Apa yang saya tahu ialah dia (Sanchez) masih pemain Arsenal.

“Saya fikir dia akan menyertai United jadi tahniah kepada kedua-duanya. Pada akhirnya, pemain, apabila mereka mempunyai persaingan, mereka akan memutuskan di mana mereka mahu bermain.

“Pengurus mereka (ejen) memutuskan di mana mereka mahu bermain. Mereka memutuskannya. Semoga berjaya (kepada mereka).

“Pandangan saya terhadap Alexis kekal sama. Saya gembira bersamanya di Barcelona. Dia akan memutuskan untuk berpindah ke kelab lain, jadi saya mengucapkan kepadanya semoga berjaya.”

Bagaimanapun ketika Sanchez difahamkan sudah bersetuju untuk menerima tawaran lumayan United, perpindahannya tampak ditangguhkan oleh Henrikh Mkhitaryan yang dilaporkan menjadi sebahagian daripada perjanjian berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 January 2018 @ 8:01 AM