NEYMAR meraikan kejayaannya meledakkan gol pertama selepas menyempurnakan sepakan penalti. Foto Reuters
NEYMAR meraikan kejayaannya meledakkan gol pertama selepas menyempurnakan sepakan penalti. Foto Reuters
AFP

PARIS: Neymar menjaringkan penalti di separuh masa kedua dalam perlawanan yang menyaksikan juara empat kali, Paris Saint-Germain dipaksa bekerja keras sebelum menewaskan Amiens 2-0 untuk mara ke separuh akhir Piala Liga Perancis, awal pagi tadi.

PSG sekali lagi beraksi tanpa penjaring terbanyak mereka, Edinson Cavani yang turut terlepas perlawanan pada Ahad lalu menewaskan Rennes selepas pulang lewat menyambut Krismas dan Tahun Baru di Uruguay.

Harapan Amiens mencipta kejutan menjadi lebih sukar apabila penjaga gol, Regis Gurtner mendapat kad merah pada minit ke-34 selepas mengasari Kylian Mbappe di luar kotak penalti.

Neymar menjadikan situasi lebih sukar buat lawan apabila menjaringkan penalti pada minit ke-53 dalam aksi di Stade de la Licorne.

Sebelum itu, Mbappe hampir menjaringkan gol namun percubaannya diselamatkan penjaga gol gantian, Jean-Christophe Bouet.

Adrien Rabiot memastikan kemenangan PSG melalui tandukan pada minit ke-78 hasil tendangan sudut Angel Di Maria .

Dalam perlawanan lain, Montpellier menewaskan Angers 1-0 hasil jaringan lewat Isaac Mbenza dan Adrien Hunou muncul wira Rennes selepas menjaringkan dua gol menewaskan Toulouse 4-2.

Monaco pula pasukan pertama mara ke separuh akhir semalam selepas menewaskan Nice 2-1 hasil jaringan Thomas Lemar dan Adama Diakhaby di Allianz Riviera.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2018 @ 11:31 AM