CHIOW Chuan (kanan) pernah membimbing KLHC selama tujuh musim.
CHIOW Chuan (kanan) pernah membimbing KLHC selama tujuh musim.
Naqib Nor Said


LIM Chiow Chuan hampir pasti menggantikan Harun Al Rashid Samri untuk membimbing Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) mengharungi kancah Liga Hoki Malaysia musim depan.

Pengurus pasukan KLHC, Ahmad Anuar Sham Kamar, berkata pihaknya sememangnya berminat mendapatkan khidmat bekas penolong jurulatih skuad kebangsaan itu dan hanya akan mengesahkannya dalam masa terdekat.

“Harun mempunyai ikatan kontrak bersama Majlis Sukan Negeri Terengganu bagi membangunkan hoki wanita di sana sekali gus meletakkan Chiow Chuan sebagai calon tunggal kami.

“Bagaimanapun, masih terlalu awal mengatakan Chiow Chuan 100 peratus akan bersama kami pada musim depan sebab dia sendiri pun belum mengesahkan sama ada bersedia menerima tawaran atau tidak,” kata Anuar ketika dihubungi.

Chiow Chuan, 51, bukanlah nama asing buat KLHC apabila pernah membimbing pasukan itu sepanjang tujuh musim, namun ketika itu beliau lebih banyak memainkan watak di belakang tabir.

Kali terakhir beliau berkhidmat bersama juara bertahan Liga Premier itu pada kempen 2014 dan 2015 dengan menjadi pembantu kepada Dhaarma Raj Abdullah.

Selain Chiow Chuan, KLHC juga bakal mengikat ayam tambatan skuad Projek 2020 iaitu Hafizhuddin Zaidi daripada pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Selebihnya, pasukan itu akan mengekalkan sebahagian besar pemain tempatan musim lalu di samping enam pemain import dari Australia dan Korea Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2017 @ 5:59 PM