AFP

LIVERPOOL: Ronald Koeman (gambar) bertegas dia masih mampu menyelamatkan Everton sekali pun kelab kendaliannya terjerumus ke kelompok bawahan Liga Perdana Inggeris (EPL) susulan kekalahan 5-2 kepada Arsenal di Goodison Park, semalam.

Pengendali dari Belanda itu menyaksikan kelab Merseyside kendaliannya jatuh ke tangga tiga tercorot liga dalam perlawanan menarik ketika kelab bimbingan Arsene Wenger meledak lima gol.

Tetapi Koeman tetap yakin dapat mengubah permulaan membimbangkan di mana Everton hanya meledak tujuh gol dalam sembilan pertemuan liga, selain hampir tersingkir dalam saingan Liga Europa selepas hanya mengutip satu mata daripada tiga aksi.

“Ia bergantung kepada bagaimana kamu melihat keadaannya,” kata Koeman. “Jika kamu mula untuk berfikir negatif jadi mungkin tiada sebarang penyelesaian. Saya tidak seperti itu.

“Pasukan berdepan kesukaran secara mental dan juga keyakinan. Mereka bergelut. Itu sebabnya mengapa kami perlu berubah dan saya secara peribadi percaya yang saya mampu mengubah keseluruhan situasi tetapi semua orang tahu bagaimana ia berlaku dalam bola sepak.

“Keputusan bukan di tangan saya tetapi saya tidak fikir ia sudah terlalu lewat.”

Hubungan Koeman dengan Pengerusi Bill Kenwright dan pemegang saham majoriti Farhad Moshiri dilaporkan kekal utuh dan pengendali itu sedang menunggu perbincangan selepas setiap perlawanan.

Selain itu, Koeman turut menegaskan permulaan buruk Everton disebabkan oleh kepadatan jadual perlawanan.

“Kami sudah bermain sembilan perlawanan dan menentang lima pasukan terbaik EPL musim lalu tetapi ini bukan posisi yang baik buat Everton.

“Saya memahaminya. Saya sudah berada lama dalam bola sepak, mengendalikan kelab cukup lama. Kamu tidak perlu memberitahu saya apa yang akan berlaku.

“Bukan masanya untuk menjadi gila. Saya bertanggungjawab dengan pasukan ini. Kami tewas 5-2 yang juga keputusan yang besar, menentang pasukan yang besar dan kita lihat apa yang akan berlaku,” katanya.

Dalam perlawanan itu, Everton mendahului permainan menerusi Wayne Rooney yang menunjukkan bekas penyerang Manchester United itu masih berguna buat kelab.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2017 @ 1:34 PM