ALLARDYCE (tengah) berjaya bawa Everton ke tangga kesembilan liga. -Foto AFP
ALLARDYCE (tengah) berjaya bawa Everton ke tangga kesembilan liga. -Foto AFP
Reuters

LIVERPOOL: Kemampuan Sam Allardyce mengeluarkan Everton daripada zon penyingkiran dengan pantas membuktikan karektor hebat yang dimilikinya dan dia kini meletakkan sasaran untuk menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di kedudukan 10 teratas.

Kemenangan 3-1 Everton ke atas Swansea, awal pagi tadi membawa kelab Merseysiders itu ke tangga kesembilan liga dengan segala kebimbangan mengenai prestasi longlai yang ditampilkan sebelum ini tampak seperti tinggal kenangan.

“Sasaran ketika ini? Kedudukan 10 teratas tetapi jangan terlalu terbawa-bawa dengannya,” kata Allardyce yang pernah membimbing skuad kebangsaan England.

Gol sumbangan Dominic Calvert-Lewin, Gylfi Sigurdsson dan penalti Wayne Rooney mengesahkan kemenangan Everton yang terpaksa bangkit daripada ketinggalan sebelum meraih kemenangan 3-1 ke atas kelab tercorot liga dari Wales itu.

ROONEY (kanan) jaring gol ketiga Everton. -Foto Reuters
ROONEY (kanan) jaring gol ketiga Everton. -Foto Reuters

Everton berada di zon penyingkiran apabila mereka memecat pengurus kelahiran Belanda, Ronald Koeman pada 23 Oktober lalu, susulan kekalahan memalukan 2-5 kepada Arsenal di Goodison Park .

Pengurus skuad bawah 23 tahun, David Unsworth diberikan tugas secara sementara, tetapi beliau hanya berjaya merekod dua kemenangan sepanjang lapan perlawanan.

Kemenangan kedua dan terakhir Unsworth iaitu ketika menewaskan West Ham 4-0 hadir ketika Allardyce sudah pun melihat perlawanan di tempat duduk penonton.

Sejak mengambil alih tugas secara rasmi, Everton sudah menewaskan Huddersfield Town dan Newcastle United, seri menentang seteru setempat Liverpool, diikuti kemenangan ke atas Swansea.

“Untuk mengutip 13 mata daripada 15 mata yang ditawarkan adalah menakjubkan jika menimbangkan di mana posisi kami sebelum ini,” kata Allardyce.

“Kami sudah menjaringkan 11 gol dalam lima perlawanan dan mengekalkan gawang daripada dibolosi. Kami adalah pasukan yang bangkit daripada ketinggalan 1-0 dan menang dan ia menunjukkan karektor,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2017 @ 1:17 PM