VERRATTI (tengah) bersama rakan sepasukan giat berlatih menjelang pertemuan dengan Bayern awal pagi Khamis ini. - Foto REUTERS
VERRATTI (tengah) bersama rakan sepasukan giat berlatih menjelang pertemuan dengan Bayern awal pagi Khamis ini. - Foto REUTERS
AFP

PARIS: Kehadiran Neymar mungkin mengalih beberapa tumpuan terhadap peranan dimainkan Marco Verratti di Paris Saint-Germain namun Carlo Ancelotti amat memahami kepentingan pemain tengah itu di kelab ibu negara Perancis.

Ancelotti membawa pasukannya Bayern Munich ke Parc des Princes bagi satu daripada pertembungan besar pada peringkat kumpulan Liga Juara-Juara awal pagi Khamis ini dan perlawanan yang mungkin menjadi penentu siapa mengungguli Kumpulan B.

Perlawanan itu menyaksikan Ancelotti kembali berdepan PSG buat kali pertama sejak beliau meninggalkan ibu negara Perancis itu pada 2013 selepas tempoh 18 bulan yang mana beliau mengemudi kejuaraan Ligue 1 kali pertama dalam tempoh hampir 20 tahun.

Zlatan Ibrahimovic adalah bintang pasukan ketika itu namun kempen 2012-13 turut menyaksikan pemain muda Verratti menjadi pemain kegemaran penyokong Paris.

Verratti, yang hanya berusia 19 tahun apabila dia tiba dari Pescara dari negara asalnya Itali, menyanjung Ancelotti kerana membantunya menyesuaikan diri dengan pantas dalam kalangan pemain bintang kelab itu.

“Beliau bagaikan seorang bapa buat saya. Saya akan bersyukur sepanjang hayat saya kerana peluang diberikannya,” ujar pemain kebangsaan Itali itu, yang diberi jolokan ‘Little Owl’.

Hubungan mereka bagaimanapun tidak begitu baik apabila masalah disiplin Verratti menyebabkan Ancelotti beberapa kali berang.

REAKSI Ancelotti (dua kanan) selepas Verratti dibuang padang secara bodoh dalam aksi liga di Evian pada April 2013. - Foto AFP
REAKSI Ancelotti (dua kanan) selepas Verratti dibuang padang secara bodoh dalam aksi liga di Evian pada April 2013. - Foto AFP

Bekas bos Chelsea itu pernah dilaporkan memanggil Verratti “dungu” selepas dia dibuang padang secara bodoh dalam aksi liga di Evian pada April 2013 dan dia dilayangkan kad kuning 33 kali dalam liga dalam tiga musim pertamanya di Perancis.

Pengaruh Verratti di Paris hanya meningkat selepas Ancelotti meninggalkan kelab itu untuk mengambil alih di Real Madrid pada 2013 namun pemain bergaya itu menjurus kepada perbandingan dengan pemain hebat Barcelona, Xavi Hernandez jika dia bermain di Sepanyol.

Dikaitkan seketika dengan perpindahan ke Madrid untuk bersatu kembali dengan Ancelotti - yang meninggalkan Santiago Bernabeu pada 2015 - Verratti menyaksikan potensi perpindahan ke Barcelona tidak menjadi kenyataan.

“Saya berbincang dengan kelab kerana beberapa perkara tidak betul atau saya tidak memahaminya dan kini saya gembira untuk menjadi sebahagian daripada satu projek paling besar di Eropah,” kata Verratti, kini berusia 24 tahun, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2017 @ 11:33 AM