(DARI KIRI) Firmino, Mane, Salah dan Sturridge masing-masing jaring satu gol. -Foto Agensi
(DARI KIRI) Firmino, Mane, Salah dan Sturridge masing-masing jaring satu gol. -Foto Agensi
AFP

LONDON: Penyerang Liverpool, Roberto Firmino, Sadio Mane dan Mohamed Salah merobek Arsenal apabila pasukan kendalian Arsene Wenger itu mengalami kekalahan mengaibkan 0-4 di Anfield, awal pagi tadi.

Trio itu menemui sasaran sekali gus mencetus kekalahan kedua berturut-turut Arsenal selepas mereka tewas 0-1 di Stoke City, meninggalkan mereka enam mata di belakang pendahulu awal Liga Perdana Inggeris, Manchester United di tangga ke-16.

Liverpool melonjak ke tangga kedua, dua mata di bawah United dan satu di atas juara bertahan Chelsea, yang menang 2-0 ke atas Everton.

“Kami amat tersusun,” kata pengurus Liverpool, Juergen Klopp.

“Jika anda memberikan Arsenal ruang dan masa, anda tewas sebelum perlawanan bermula, jadi saya tidak fikir mereka boleh melakukan apa yang mereka mahukan dan pujian kepada pemain kerana mereka jelas bekerja keras.”

Kekalahan Arsenal dan cara mereka tumbang, sekali lagi menimbulkan persoalan mengenai posisi Wenger, kurang tiga bulan selepas pengendali dari Perancis itu menandatangani kontrak baru dua tahun.

Ia kekalahan terbesar Arsenal dalam liga sejak kecundang 0-4 di Southampton pada Disember 2015.

Wenger memberikan Alexis Sanchez penampilan pertamanya musim ini selepas kekejangan otot perut namun menyaksikan pasukannya ketinggalan pada minit ke-17 apabila Joe Gomez membuat hantaran silang dari kanan untuk ditanduk masuk Firmino.

DANIEL Sturridge (kiri) jaring gol keempat Liverpool. -Foto EPA
DANIEL Sturridge (kiri) jaring gol keempat Liverpool. -Foto EPA

Firmino menjadi pengumpan pada minit ke-40 dengan hantaran dari sebelah kiri kepada Mane, yang mengelirukan Rob Holding sebelum merembat masuk ke penjuru kanan gol.

Kedudukan menjadi 3-0 sebelum sejam apabila Liverpool melakukan serangan balas pantas berikutan sepakan sudut dan Salah menewaskan Hector Bellerin sebelum memecut dan mengatasi penjaga gol Petr Cech.

Pemain gantian Daniel Sturridge melengkapkan jaringan dengan menanduk masuk hantaran silang Salah pada minit ke-77.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2017 @ 7:35 AM