HIGUAIN mohon maaf kepada peminat Juventus.
HIGUAIN mohon maaf kepada peminat Juventus.
AFP

MUSIM Juventus dalam Serie A bermula dengan penyerang Gonzalo Higuain memohon maaf manakala jurulatih Massimiliano Allegri memberi amaran potensi halangan yang akan mereka hadapi dalam usaha mempertahankan kejuaraan.

“Kami tidak berada di tahap prestasi terbaik lagi tapi kami harus bersedia kerana musim baru akan bermula dan kami tidak boleh melakukan sebarang kesilapan,” kata Allegri berikutan kekalahan mengejut 2-3 kepada Lazio pada final Piala Super Itali.

Tidak sampai tiga bulan selepas kekalahan 1-4 kepada Real Madrid pada final Liga Juara-Juara melengkapkan rekod kejuaran berganda tiga musim berturut-turut, Juventus menerima kunjungan Cagliari pada aksi pembukaan liga berharap ia mampu mengemudi mereka bagi rekod tujuh kejuaraan scudetto berturut-turut.

Namun kekalahan minggu lalu - yang menyebabkan Higuain memohon maaf kepada penyokong menerusi Twitter - dilihat sebagai petanda Juventus akhirnya boleh dikalahkan.

Sekalipun AS Roma berakhir hanya empat mata di belakang sebagai naib juara musim lalu, AC Milan dilihat mampu mencabar dua kelab itu.

Selepas berbelanja sakan pada musim panas ini yang kelihatan belum berakhir, juara Eropah tujuh kali itu mencetus tamparan hebat dengan mengikat pertahanan Juventus, Leonardo Bonucci.

Pembelian bintang FC Porto, Andre Silva, penyerang Ivory Coast, Franck Kessie (Atalanta) dan kemungkinan penyerang Fiorentina, Nikola Kalini dalam beberapa hari akan datang, bermakna anak buah Vincenzo Montella boleh mula mengimpikan untuk mencabar kejuaraan buat kali pertama sejak Allegri mengemudi kejayaan mereka pada 2011.

“Saya sudah bersedia menghadapi musim baru dan tetap bercita-cita besar seperti selalu. Saya akan memberikan segala-galanya buat Milan dan lebih lagi,” kata Bonucci, yang akan berdepan Juventus buat kali pertama sebagai pemain Milan di San Siro pada 29 Oktober depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Ogos 2017 @ 11:27 AM