AZMAN Fahmi (kanan).
AZMAN Fahmi (kanan).
Ardyhansah Amat


Kuala Lumpur: Stadium Nasional Bukit Jalil sekali lagi bakal menjadi tumpuan ramai apabila menjadi lokasi utama temasya serantau Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur (KL2017), tidak lama lagi.

Mula dibina 23 tahun lalu, khusus bagi penganjuran Sukan Komanwel 1998, stadium itu kini sekali lagi berwajah baru selepas kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil inisiatif melakukan penambahbaikan sebelum bermulanya temasya sukan dwitahunan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) Azman Fahmi Osman berkata, boleh dikatakan ketika ini, stadium berkenaan siap sepenuhnya membabitkan kerja menaik taraf dan pengubahsuaian.

“Ia sudah diserahkan kepada Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) untuk penilaian termasuk mengenal pasti sebarang masalah bagi diperbetulkan sebelum pertandingan bermula.

“Ketika ini, kerja penjenamaan membabitkan bahagian dalam stadium sedang giat dilakukan termasuk podium penyampaian hadiah dan hiasan dalaman bagi upacara pembukaan KL2017,” katanya kepada Harian Metro, di sini, semalam.

Tambahnya, keputusan menaik taraf stadium berkenaan adalah satu langkah tepat dalam memberi keselesaan kepada orang ramai termasuk pelancong dari luar negara.

“Ia selaras dengan usaha kerajaan dan KBS yang bukan saja mahu menjadi juara keseluruhan, tapi turut diiktiraf penganjuran terbaik dalam sejarah sukan itu.

“Saya berani katakan, perubahan Stadium Nasional Bukit Jalil ini bakal membawa nuansa baru kepada orang ramai sama seperti berada di stadium terkenal luar negara termasuk Stadium Wembley, London dan Stadium Nasional Singapura,” katanya.

Menurut Azman Fahmi, selain menggantikan kerusi lama, pihaknya turut menggunakan sistem bunyi, penyataan cahaya dan papan penyata markah yang baharu di stadium antara yang terbesar di dunia itu.

“Berkaitan padang dan trek balapan pula, ia juga dalam keadaan baik apatah lagi rumput padang baru saja ditanam dua tahun lalu.

“Justeru, tidak banyak kerja pembaikan di padang akan dilakukan kecuali hanya membabitkan hiasan dan pembersihan,” katanya.

Selain itu, Azman Fahmi berkata, pihaknya turut mengutamakan sistem telekomunikasi di dalam Stadium Nasional Bukit Jalil termasuk liputan telefon bimbit.

“Jika jumlah pengguna telefon bimbit terlalu ramai di dalam stadium dalam satu masa, ganguan talian biasanya berlaku sekali gus menganggu sistem komunikasi yang ada.

“Justeru, kami turut menggunakan sistem telekomunikasi baharu dalam stadium yang pertama seumpamanya dilakukan di negara kita.

“Malah kemudahan wifi secara percuma kepada orang ramai turut disediakan di beberapa lokasi sekitar Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil, secara keseluruhannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2017 @ 11:10 AM