Marcelo menjulang Piala Liga Super Eropah bersama pemain Real Madrid meraikan kejayaan menewaskan United. FOTO REUTERS
Marcelo menjulang Piala Liga Super Eropah bersama pemain Real Madrid meraikan kejayaan menewaskan United. FOTO REUTERS
Reuters

REAL Madrid mempamer aksi permainan kelas tersendiri menewaskan Manchester United 2-1, hari ini untuk menjulang Piala Super Eropah bagi kali keempat.

Gergasi La Liga Sepanyol itu muncul pasukan pertama mengekalkan piala itu sejak AC Milan pada 1990.

Pemain tengah Brazil Casemiro membuka jaringan dengan rembatan kaki kiri pada pertengahan babak pertama sebelum pemain tengah Sepanyol Isco melebarkan kelebihan Real dengan penyudah kemas pada m-52 dalam aksi di National Arena Skopje, Macedonia.

Penyerang baru United Romelu Lukaku menjaringkan gol kompetitif pertama buat United untuk merapatkan defisit selepas 62 minit perlawanan menemukan pemenang Liga Juara Juara (UCL) dan juara Liga Europa (UEL).

Skuad United dikendali Jose Mourinho berpeluang menyamakan kedudukan menerusi Marcus Rashford tetapi diselamatkan oleh penjaga gol Keylor Navas sekaligus memastikan kejayaan Real meraih piala antarabangsa di bawah Zinedine Zidane untuk kali kelima.

"Kami cemerlang sepanjang perlawanan dan ia sangat penting memulakan kempen musim memenangi trofi menentang pasukan mencuba segala galanya untuk cuba menang," kata kapten Real Sergio Ramos.

"Mereka berpeluang dan cuba mendapatkan kelebihan dengan fizikal pemain mereka tetapi kami kekal dalam keadaan mendesak mengekalkan penguasaan bola. Selain aksi menarik hingga ke akhir, kami menikmati perlawanan menyeronokkan."

Mourinho berkata: "Kami berdepan pasukan memiliki ramai pemain fantastik tetapi kami mencabar keputusan hingga hujung perlawanan. Kami memberi tekanan tetapi ada sebab untuk berasa yakin dan bangga."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2017 @ 12:52 PM