Dari kiri, Mohd Azizulhasni Awang, Cheong Jun Hoong dan Mohd Al Jufferi Jamari terpilih untuk membawa bendera kontinjen Sukan SEA negara pada majllis pembukaan 19 Ogos nanti. - Foto Arkib NSTP
Dari kiri, Mohd Azizulhasni Awang, Cheong Jun Hoong dan Mohd Al Jufferi Jamari terpilih untuk membawa bendera kontinjen Sukan SEA negara pada majllis pembukaan 19 Ogos nanti. - Foto Arkib NSTP
Azlan Muhammad Zain


TIGA juara dunia diberi penghormatan membawa bendera ketika perarakan masuk kontinjen negara ketika acara pembukaan Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017) pada 19 Ogos ini.

Atlet terbabit ialah jaguh trek negara Mohd Azizulhasni Awang, ratu terjun Cheong Jun Hoong dan pesilat negara Mohd Al Jufferi Jamari.

Pengumuman itu dibuat Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin selepas menyampaikan amanat terakhir kepada kontinjen negara, malam ini.

“Selepas berfikir panjang, saya memutuskan membuat kelainan kali ini. Kontinjen Malaysia akan mempunyai tiga pembawa bendera pada upacara pembukaan," katanya.

Pemilihan tiga atlet yang sudah mencipta nama di pentas dunia dilihat mampu membakar semangat atlet negara bagi melakar kejayaan.

Malaysia meletakkan sasaran muncul juara keseluruhan pada edisi ke-29 Sukan SEA yang dijadualkan bermula secara rasmi pada 19 hingga 30 Ogos ini.

Terdahulu beliau hadir menyampaikan amanat kepada atlet negara untuk membakar semangat mereka bagi menghadapi temasya dwitahunan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2017 @ 10:48 PM