GOHEK meraikan kanak-kanak yang  terbabit dalam program.
GOHEK meraikan kanak-kanak yang terbabit dalam program.
Hafiz Ithnin


GABUNGAN pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Hadapan Kelantan (GOHEK) mengadakan Program Bersama Anak-anak Kesayanganku @ Pusat Jagaan Kesayangan Mumtahanah atau menyantuni anak-anak yatim dan miskin antara cabang program kebajikan dan dakwah di bawah kelolaannya, baru-baru ini.

Bermula pada 2019, GOHEK yang dijenamakan untuk menggabungkan beberapa NGO di Kelantan bertujuan membantu golongan sasar di negeri itu secara meluas dengan mengadakan pelbagai program berkonsepkan kebajikan, dakwah dan menjadi 'pasukan sokongan' kepada agensi yang terbabit dengan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Kelantan.

Pengerusinya, Tuan Hissam Tuan Mamat berkata, secara umumnya Program Bersama Anak-anak Kesayanganku itu adalah kesinambungan daripada projek jelajah golongan sasar GOHEK iaitu pihak GOHEK melancarkan tabung sumbangan bagi membantu masyarakat kurang berkemampuan di negeri itu yang dimulakan pada tahun lepas.

"Program Bersama Anak-anak Kesayanganku ini adalah julung kali dianjurkan dan akan dijadikan sebagai program tahunan GOHEK dan badan gabungan yang dianggotai ThirdForce Kota Bharu, Sukarelawan iKasih Cawangan Kelantan, Rumah Mahabbah Kota Bharu, Sukarelawan Basmi Lapar dan Chempaka Merah Asnaf Society.

"Program ini turut mendapat kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Kelantan, Kelab Sukan dan Kebajikan Kumpulan PKINK (KSKK PKINK), Kamaliah Batik Sdn Bhd dan Masjid As-Salam Pengkalan Chepa.

KANAK-KANAK yang terlibat menyertai pelbagai program disediakan.
KANAK-KANAK yang terlibat menyertai pelbagai program disediakan.

Jelasnya, dengan kerjasama pelbagai pihak itu menunjukkan bukti kerjasama langsung yang baik antara GOHEK dan agensi-agensi kerajaan serta institusi masjid di negeri ini.

"Program ini adalah berkonsepkan keluarga bahagia iaitu setiap peserta perlu menerapkan amalan kasih sayang terhadap anak-anak syurga ini supaya mereka merasai erti sebenar sebuah keluarga dan kasih sayang ibu bapa.

"Ia juga penyuntik kesedaran untuk menyumbang dan menyantuni anak-anak syurga dalam kalangan ahli GOHEK dan orang ramai selain menjadikannya sebagai tanggungjawab masyarakat terhadap kerja-kerja kemasyarakatan yang mesti dipupuk serta disemai sebagai suatu budaya yang menjadi teras kemakmuran negara," katanya.

Program kali pertama dianjurkan itu turut mengetengahkan pelbagai aktiviti menarik seperti lawatan ke Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, tazkirah agama, slot bersama maskot, aktiviti kasih seorang anak, persembahan nasyid, sambutan hari lahir anak-anak syurga dan pelbagai aktiviti sampingan.

KANAK-KANAK diberi peluang cara mengawal kebakaran.
KANAK-KANAK diberi peluang cara mengawal kebakaran.

AKTIVITI mewarna diadakan.
AKTIVITI mewarna diadakan.

Katanya, antara objektif penganjuran ini ialah sebagai wahana bagi ahli gabungan GOHEK membina jaringan dan kerjasama korporat yang lebih baik dan dinamik demi menyediakan perkhidmatan kebajikan yang lebih efisien kepada golongan sasar di Kelantan.

"Antara lainnya adalah sebagai platform untuk mendidik anggota masyarakat yang penyayang, berbuat baik kepada anak yatim dan memberi ruang kepada mereka bukannya mengambil kesempatan terhadap mereka bagi menjana kesenangan atau keuntungan peribadi atas nama anak yatim.

"Diharap dengan usaha GOHEK untuk menyuntik semangat berkebajikan ini, lebih ramai penyumbang menyalurkan bantuan sama ada dari segi wang ringgit mahupun barangan supaya program ini dapat diperbesarkan lagi pada masa akan datang selain dapat memberikan manfaat kepada semua pihak khususnya asnaf, anak yatim, masyarakat dan rakyat Kelantan keseluruhannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2020 @ 6:48 AM