PESERTA Kempori yang sentiasa bersatu dalam menjalankan tugasan yang diberi.
PESERTA Kempori yang sentiasa bersatu dalam menjalankan tugasan yang diberi.
Fazurawati Che Lah


SERAMAI 700 Pengakap Kanak-Kanak (PKK), Pengakap Muda (PM), Pengakap Remaja (PR) dan Pengakap Kelana seluruh daerah berkumpul di Kem Mutiara Semenyih Training and Eco Resort, Selangor sempena Kempori Pengakap Negeri Selangor 2019 yang bertemakan Pengakap Jiwa Merdeka, baru-baru ini.

Kempori satu aktiviti perhimpunan khas ahli pengakap bagi menarik minat dan mendedahkan ahlinya kepada dunia kepengakapan dan mengimplementasi ilmu pengakap ke dalam diri ahli.

Perkhemahan itu dapat memupuk semangat kerjasama, berdikari, meningkatkan motivasi, keyakinan diri peserta serta melahirkan ahli yang berdisiplin selain bersemangat juang untuk memastikan kecemerlangan yang seimbang dalam bidang kokurikulum dan kurikulum.

Koordinator bagi Asia-Malaysia, Dr Kalaimani Supramaniam yang juga Pesuruhjaya Pengakap Kebangsaan Persekutuan Pengakap Malaysia berkata, Kempori kali ini berjaya melaksanakan pemantauan status air yang meliputi

Ujian Kejernihan air, Pengukuran Keasidan dan Kealkalian Air (pH) serta Ujian Pemantauan Air.

Katanya, peralatan ujian itu ditaja badan alam sekitar, Environment Online (ENO) iaitu badan bukan kerajaan (NGO) yang beribu pejabat di Finland.

“Saya gembira pengakap mengambil peluang untuk mengadakan pemantauan air di kawasan berkenaan dan data dapat dilihat di seluruh dunia melalui laman sesawang.

“Data-data ini amatlah tepat dan boleh dijadikan rumusan beberapa pihak lain bagi memulihkan kebersihan air di kawasan itu,” katanya.

Pada Kempori Pengakap Selangor kali ini, ENO menaja peralatan lengkap untuk ujian pemantauan air yang dianggarkan berjumlah RM2,000 berserta sijil penyertaan setiap seorang.

Selain itu, ENO mengetengahkan pendidikan solar kepada peserta, dengan memberi penerangan berkaitan panel solar, alatan kawalan solar, alatan pengalih ubah dan sistem bateri bagi mendidik peserta mengurangkan penggunaan tenaga elektrik dan beralih kepada penggunaan tenaga solar yang lebih murah serta tenaga hijau.

700 pengakap berkumpul, berjaya laksanakan pemantauan status air.
700 pengakap berkumpul, berjaya laksanakan pemantauan status air.

Sementara itu, Penolong Pesuruhjaya Pengakap, Kumpulan Latihan Kelanasiswa Malaysia (KLKM), Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB), Mohd Aswadi Muhamad berkata, golongan muda perlu menguasai pelbagai ilmu dengan memanfaatkan sumber tenaga yang boleh diperbaharui bagi membolehkan mereka menjadi generasi pencipta produk yang dapat membantu meringankan dan memudahkan kehidupan seharian.

“Menerusi sumber air, angin dan suria, ia memberi satu kelebihan kepada generasi muda untuk memanfaatkannya.

“Pada masa ini, sumber tenaga itu mempunyai potensi besar untuk dimajukan dan golongan muda perlu kreatif serta bersedia menghadapi sebarang cabaran dengan menimba sebanyak mungkin ilmu pengetahuan semasa di alam persekolahan lagi,” katanya.

Jelasnya, golongan muda perlu melatih diri menjadi individu yang lasak, bersemangat waja dan mampu menghadapi suasana kehidupan yang pelbagai di samping bersedia untuk belajar pelbagai ilmu.

“Perkhemahan sebegini sewajarnya menjadi medan membuka minda supaya peserta merasai suasana kehidupan yang mencabar dan mampu mengikuti aktiviti serta latihan kemahiran yang disediakan meskipun serba kekurangan,” katanya.

Sebanyak 30 aktiviti yang disediakan, antaranya projek pemuliharaan alam sekitar, permainan tradisional seperti permainan kim, baling tin, baling gelung, batu seremban dan sepak bulu ayam, kraf tangan seperti anyaman ketupat, origami dan wogel serta aktiviti radio amatur.

Selain pameran daripada pelbagai agensi termasuk Ibu Pejabat Persekutuan Pengakap Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan Hulu Langat dan Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Selangor.

Majlis penutupan perkhemahan pengakap itu disempurnakan Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Ishak Jonid.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 5:15 AM