MEMANFAATKAN masa terluang sempena PKP untuk bercucuk tanam.
MEMANFAATKAN masa terluang sempena PKP untuk bercucuk tanam.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak pertengahan Mac lalu diikuti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) jelas membataskan aktiviti harian penduduk di negara ini.

Namun, di sebalik semua kekangan berkenaan, ramai yang mengakui ada hikmah tersembunyi kerana keterbatasan itu sebenarnya boleh mencungkil kreativiti seseorang.

Kombinasi idea kreatif dan minat yang muncul ketika PKP dan PKPB mendorong Khalid Zahrom, 40, dari Skudai, Johor memperkenalkan sistem tanaman sayur-sayuran mudah dijaga menggunakan medium ciptaannya iaitu 'vertical tower' atau turut dikenali sebagai pasu viral.

Pengurus Pemasaran Komunikasi dan ICT Taman Negara Johor itu berkata, idea untuk memperkenalkan pasu viral muncul selepas tiga minggu PKP dilaksanakan kerana berasa bosan berada di rumah

Kata Khalid, apa yang menariknya mengenai pasu viral itu, ia tidak memerlukan ruang yang luas dan sesuai untuk kediaman jenis teres mahupun pangsapuri dengan keluasan terhad.

Katanya, pasu viral itu dibuat daripada paip PVC dan ia menjimatkan ruang contohnya untuk ukuran panjang satu meter (m) boleh menggantikan 20 pasu tanaman.

PASU viral tanaman bayam Brazil yang dihasilkan Khalid.
PASU viral tanaman bayam Brazil yang dihasilkan Khalid.

"Selain itu, pelbagai jenis tanaman tidak kira sayur-sayuran atau pokok bunga boleh ditanam dalam pasu viral ini.

"Namun untuk permulaan, saya memilih tanaman bayam Brazil kerana ia bukan saja mudah dijaga malah kitarannya juga tidak lama iaitu sekitar dua minggu.

"Sayur-sayuran berkenaan semakin digemari ramai dan ia juga sesuai ditanam ketika musim PKP dan PKPB ini, "katanya kepada Xpresi.

Menurut Khalid, sejak diperkenalkan menerusi laman Facebooknya (Akulahh Kz), pasu viral ciptaannya mendapat sambutan hangat dari seluruh negara dan ia secara tidak langsung turut memberi pendapatan tambahan kepada keluarganya.

Khalid berkata, pasu tanaman seperti itu sebenarnya sudah ada di pasaran dalam talian, tetapi berbeza dengan ciptaannya kerana tidak disertakan dengan panduan dan cara penanaman yang betul.

Katanya, setiap pembelian akan disertakan dengan video tutorial bagi membolehkan orang ramai terutama yang baru berjinak-jinak dalam aktiviti berkebun belajar cara penanaman.

Tidak hairanlah jika sehingga kini, 42 'vertical tower' sudah dijual dan banyak lagi tempahan diterima untuk disiapkan selepas musim perayaan ini.

HASIL tanaman yang diperoleh ketika PKP.
HASIL tanaman yang diperoleh ketika PKP.

ANAK turut membantu Khalid dalam menjaga tanamannya.
ANAK turut membantu Khalid dalam menjaga tanamannya.

"Bagi memudahkan orang ramai berkebun, saya turut menyediakan set lengkap termasuk pasu dan tanah campuran khas dengan harga berpatutan.

"Tempahan dari luar Johor Bahru akan dihantar menggunakan khidmat kurier manakala jika pembeli dari kawasan berdekatan, saya biasanya akan hantar sendiri," katanya.

Jelas Khalid, minat berkebun ketika musim PKP turut mendorongnya menanam pelbagai sayur-sayuran lain seperti bayam, sawi, kacang panjang kerdil, kobis, terung dan bendi di laman rumah teres yang didiaminya.

Kata Khalid, semua sayur-sayuran itu tanaman yang mudah dijaga, tidak memerlukan pemantauan rapi dan cepat berbuah.

"Tanaman itu juga tidak memerlukan ruang yang luas selain boleh ditanam di dalam pasu bunga saja.

"Alhamdulillah, hasil semua tanaman itu bukan hanya cukup untuk kami sekeluarga makan malah boleh dikongsikan dengan jiran tetangga.

"Bercucuk tanam seperti ini bukan saja dapat memanfaatkan masa terluang dengan sebaik-baiknya malah jika diusahakan dengan bersungguh-sungguh boleh menjana pendapatan

tambahan kepada keluarga. Pokok pangkalnya, rajin atau tidak,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2020 @ 6:30 AM