LAUT Mati memiliki kandungan garam yang tertinggi dari seluruh laut di dunia.
LAUT Mati memiliki kandungan garam yang tertinggi dari seluruh laut di dunia.
Oleh Muhammad Saufi Hassan

Mungkin antara sedar atau tidak, kita pernah mengunjungi atau melalui satu kawasan yang pernah dilaknat oleh Allah SWT.

  Hukum melawat ke tempat yang pernah dilaknat adalah makruh dan kita sebagai umat Islam perlu menjauhi tempat berkenaan atau sekadar melewati kawasan berkenaan untuk mengambil pengajaran terhadap sesuatu sebab di atas azab Allah SWT.

  Terdapat pandangan ulama bahawa hukum untuk 'menziarahi' atau bersuka ria di tempat yang pernah dilaknat adalah haram.

Begitu juga yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW yang mempercepatkan langkah ketika melalui kawasan yang pernah dilaknat oleh Allah SWT dan seharusnya kita mencontohi apa yang dilakukan oleh junjungan mulia.

  Rasulullah SAW pernah bersabda: Abdullah bin Umar RA menceritakan: (Pada tahun kesembilan hijrah ketika dalam perjalanan ke Tabuk untuk mempertahan Madinah daripada kemungkinan serangan tentera Rom) kami melalui kawasan al-Hijr (negeri kaum Thamud yang dimusnahkan Allah) bersama Rasulullah SAW. Baginda lantas bersabda: "Jangan kalian masuk ke negeri kaum yang menzalimi diri mereka sendiri (yang akhirnya dimusnahkan Allah) melainkan dalam keadaan menangis bimbangkan azab yang pernah menimpa mereka akan turut menimpa kalian." Kemudian baginda mempercepat langkahnya sehingga meninggalkan tempat itu." (Hadis Riwayat  Bukhari dan Muslim)

  Tidak cukup dengan itu, dalam hadis lain, Rasulullah SAW mengarahkan sahabat membuang atau memberi makan kepada unta semua gandum yang sudah diuli menggunakan air daripada kawasan berkenaan dan melarang sahabat untuk meminumnya dan segera berlalu pergi.

  Seharusnya juga, jika kita melalui kawasan yang pernah dilaknat oleh Allah SWT, perlu kita segera pergi atau jika ingin mengambil ibrah atau pengajaran daripada peristiwa berkenaan, perlulah kita menangis dan gementar tentang azab Allah SWT.

  Firman Allah SWT bermaksud: "Dan belumkah lagi ternyata kepada mereka (yang kafir itu): bahawa Kami telah binasakan berapa banyak daripada kaum-kaum yang kufur ingkar dahulu daripada mereka, padahal mereka sekarang berulang-alik melalui tempat-tempat tinggal kaum-kaum itu? Sesungguhnya kebinasaan kaum-kaum itu mengandungi keterangan-keterangan (untuk mengambil iktibar); oleh itu tidakkah mereka mahu mendengar (dan insaf)?" (Surah As-Sajdah, Ayat 26)

  

Madain Soleh

Madain Soleh adalah kota kuno yang terletak di wilayah utara Hijaz dan suatu masa dulu, tempat ini dihuni oleh kaum Tsamud iaitu kaum Nabi Soleh.

  Mereka dianggarkan hidup sejak 3,000 tahun Sebelum Masihi di antara zaman Nabi Nuh AS hingga ke zaman Nabi Musa AS.

  Tapak ini juga digazetkan sebagai tapak warisan dunia oleh Unesco, namun ia adalah salah satu lokasi yang pernah dilaknat oleh Allah SWT.

  Firman Allah SWT: "Dan orang-orang yang zalim itu dibinasakan oleh satu letusan suara yang menggempakan bumi, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat tinggal masing-masing." (Surah Hud, ayat 67)

Negeri Kaum Ad

Allah SWT berfirman: "Maka (masing-masing menerima azab dunianya) - adapun Thamud (kaum Nabi Soleh), maka mereka telah dibinasakan dengan (petir) yang melampau dahsyatnya. Adapun Aad (kaum Nabi Hud), maka mereka dibinasakan dengan angin ribut yang kencang, yang melampau kencangnya, yang diarahkannya menyerang mereka tujuh malam lapan hari terus-menerus; (kalaulah engkau menyaksikannya) maka engkau akan melihat kaum itu bergelimpangan mati, seolah-olah mereka batang-batang pohon kurma yang (tumbang dan) lompang." (Surah Al-Haqqah, ayat 5-7)

  Kaum Ad hidup di jazirah Arab, di suatu tempat bernama Al-Ahqaf yang terletak di utara Hadramaut antara Yaman dan Oman.

  Mereka kaum penyembah berhala bernama Shamud, Shada dan al-Haba. Dalam sejarah, terdapat dua kaum Aad. Kaum Ad awal atau pertama dan kaum 'Ad akhir atau kedua. Nabi Hud diutus pada kaum Aad awal.

  Kaum Ad dibinasakan oleh Allah SWT kerana kekufuran mereka dan tidak pernah merasa puas dengan segala kemewahan dan kemegahan yang mereka peroleh.

  

Laut Mati

Umat Nabi Luth AS dihancurkan kerana mereka melakukan perbuatan yang sangat dimurkai oleh Allah SWT iaitu melakukan hubungan seksual dengan sesama jenis atau homoseksual.

  Walapun sudah diingatkan oleh Nabi Luth AS, namun umatnya tidak mahu menuruti perintah Allah SWT hinggakan ditimpa azab yang sangat pedih.

  Berdasarkan penerangan cendekiawan Islam, umat Nabi Luth AS adakah di Kota Sodom iaitu di daerah yang sekarang dikenali dengan nama Laut Mati, di sempadan antara Israel dan Jordan.

  Laut Mati memiliki kandungan garam yang tertinggi dari seluruh laut di dunia dan ia dinamakan Laut Mati kerana tidak ada bentuk kehidupan yang dapat bertahan dalam air garam ini.

  Berdasarkan ahli arkeologi pula, mereka menyatakan sekitar 1,800 hingga 2,350 Sebelum Masihi, terdapat kehidupan di tempat berkenaan dan kehidupan itu mati akibat gempa bumi dan ditimpa dengan batu-batu.

  Firman Allah SWT: "Maka apabila datang (masa pelaksanaan) perintah Kami, Kami jadikan negeri Kaum Luth itu diterbaliknya (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan kami menghujaninya dengan batu-batu dari tanah yang dibakar menimpanya bertalu-talu." (Surah Hud, ayat 82)

   

Laut Merah

Laut Merah ini terletak di Lautan Hindi, di antara benua Afrika dan Asia yang berada di utaranya Semenanjung Sinai, Teluk Aqabah dan Terusan Suez.

  Laut ini menyaksikan Firaun serta tenteranya diazab oleh Allah SWT dengan cara ditenggelamkan dan ia adalah bukti Allah SWT Maha Berkuasa.

  Beberapa penemuan sejarah membuktikan ayat al-Quran bahawa ia adalah lokasi Firaun tenggelam bersama tenteranya ketika memburu Nabi Musa AS.

  Firman Allah SWT: "Maka Kami pun membalas mereka, lalu Kami menenggelamkan mereka di laut dengan sebab mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka sentiasa lalai daripadanya." (Surah al-A'raf, ayat 7)

 Itu antara bukti lokasi-lokasi atau tempat yang pernah menyaksikan kemurkaan Allah SWT lalu Allah menurunkan azab yang pedih buat mereka yang melampaui batas.

  Untuk itu, jika kita mengunjungi lokasi yang pernah diazabkan oleh Allah SWT, hendaklah kita merasa gementar serta menangis kerana azab Allah SWT itu sangat pedih serta mengambil iktibar terhadap peristiwa yang pernah diberitakan kepada kita melalui Hadis Baginda Nabi SAW serta ayat suci al-Quran.

  Janganlah kita bersuka ria melawat tempat berkenaan kerana itu perbuatan yang tidak disukai oleh Nabi SAW.

Penulis wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mei 2023 @ 7:00 AM