GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Sahibus Samahah Datuk Luqman Abdullah

BARU-BARU ini Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan menerima banyak pertanyaan berhubung seorang influencer yang menyatakan seseorang itu curang dengan izin Allah SWT.

Persoalannya, boleh atau tidak kita menisbahkan sesuatu perkara maksiat atau jahat yang kita lakukan kepada Allah?

Secara kesimpulan umum, perbuatan menisbah kejahatan, keburukan dan maksiat yang dilakukan kepada Allah SWT ialah perbuatan yang tidak beradab terhadap-Nya.

Ya, Allah SWT menciptakan semua perkara termasuk keburukan dan kejahatan, namun sebagai adab terhadap Allah SWT kita tidak boleh menisbahkan kepada-Nya kecuali perkara baik.

Menurut Ahli Sunah Waljamaah, setiap hamba Allah mempunyai pilihan sama ada melakukan perkara kebaikan atau kejahatan. Namun, semuanya tidak terkeluar daripada kehendak Allah SWT. Daripada pilihan inilah manusia diuji dan akan diberikan balasan berdasarkan pilihan mereka semasa di dunia.

Selain itu, ucapan 'saya melakukan maksiat ini dengan izin Allah SWT' tidak melazimi bahawa Allah SWT reda terhadap perbuatan maksiat berkenaan. Ini kerana kehendak (iradah) Allah SWT tidak melazimi keredaan-Nya.

Oleh itu, sesiapa yang melakukan maksiat dengan pilihan dan kehendaknya sendiri, dia mendapat kemurkaan Allah SWT. Ucapan sebegini tidak sepatutnya disebut malah perlu dielakkan, apatah lagi jika diniatkan untuk menghalalkan maksiat dilakukan oleh seseorang.

Memperincikan pandangan kami adalah tidak dapat dinafikan segala sesuatu itu diciptakan oleh Allah SWT. Ini adalah perkara pokok yang wajib untuk diimani. Ia berdasarkan kepada beberapa ayat al-Quran.

Antaranya Allah berfirman: "Yang demikian (sifatNya dan kekuasaan-Nya) ialah Allah Tuhan kamu, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, yang menciptakan tiap-tiap sesuatu maka beribadatlah kamu kepada-Nya. Dan (ingatlah) Dialah yang mentadbirkan segala-galanya." Surah al-An'am, ayat 102

Allah SWT berfirman lagi dalam ayat lain bermaksud: "Allah Yang Menciptakan tiap-tiap sesuatu dan Dia lah Yang Mentadbirkan dan menguasai segala-galanya." Surah al-Zumar, ayat 62

Dalam ayat lain, Allah SWT berfirman: "Yang bersifat demikian ialah Allah, Tuhan kamu, yang menciptakan tiap-tiap sesuatu (daripada tiada kepada ada), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, maka bagaimana kamu dapat dipalingkan (daripada menyembah-Nya)?" Surah Ghafir, ayat 62

Semua ayat ini menunjukkan segala sesuatu sama ada perkara baik, buruk, iman dan kekufuran adalah ciptaan Allah SWT.

Imam al-Baidhawi menyebut: "Allah Maha Mencipta segala sesuatu sama ada perkara kebaikan, kejahatan keimanan dan kekufuran. Dialah yang mentadbir segala sesuatu dan Allah yang menguruskan segalanya." Al-Baidhawi, Abdullah Bin Umar, Anwar al-Tanzil Wa Asrar Al-Ta'wil, Tahkik: Abdurrahman Al-Mara'syili, Dar Ihya Al-Turath Al-'Arabi

Menurut Imam Fakhruddin al-Razi ketika menafsirkan firman Allah SWT, surah al-An'am ayat 102, berkata: "Para ulama kami berpegang dengan firman-Nya bahawa Dialah yang menciptakan segala sesuatu bahawa Allah juga yang menciptakan perbuatan hamba. Mereka berkata: Perbuatan hamba adalah sesuatu dan Allah menciptakan segala sesuatu. Maka berdasarkan ayat ini, Allah SWT yang menciptakan perbuatan itu." Fakhruddin Al-Razi, Muhammad Bin Umar, Mafatih Al-Ghaib, Dar Ihya' Turath Al-'Arabi

Namun begitu, ini bukan bermakna kita boleh sewenang-wenangnya menisbahkan sesuatu keburukan atau kejahatan yang dilakukan seseorang kepada Allah SWT. Dari satu sudut menyandarkan keburukan dan kejahatan kepada Allah SWT adalah perkara yang dianggap tidak beradab kepada Allah.

Hal ini seperti yang disebutkan oleh Shaykh Ali Jum'ah di dalam kitabnya, Aqidah Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah, bahawa: "Setiap perbuatan sama ada baik atau buruk, iman atau kufur, semuanya adalah ciptaan Allah SWT. Namun begitu, adab kepada Allah SWT mewajibkan kita untuk tidak menisbahkan kepada Allah SWT kecuali perkara yang baik sahaja. Perbuatan buruk pula dinisbahkan kepada diri sebagai pelaku (kasb) walaupun hakikatnya dinisbahkan kepada Allah SWT yang menjadikannya." Ali Jum'ah, Aqidah Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah, al-Muqattam li al-Nasyr wa al-Tawzi'

Oleh kerana itu, di antara isi kandungan doa iftitah yang pernah dibaca oleh Nabi SAW seperti diriwayatkan oleh Ali bin Abu Talib RA: "Segala kebaikan berada di kekuasaan Engkau dan kejahatan bukan dikembalikan kepada Engkau." Hadis Riwayat Muslim, No 771

Imam al-Nawawi menjelaskan frasa yang disebutkan oleh Nabi SAW ini, yang pada asasnya beliau menukilkan pandangan al-Khattabi berkenaan menisbahkan sesuatu yang buruk kepada Allah. Al-Khattabi menyatakan: "Dalam hadis itu terdapat panduan adab memuji Allah SWT iaitu menisbahkan perkara yang baik kepada Allah tanpa menisbahkan perkara yang buruk dari sudut adab." Al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, Dar Ihya' Turath Al-'Arabi

Beliau menjelaskan lagi bahawa hadis itu perlu ditakwil kerana pada asasnya setiap perkara yang baharu sama ada yang baik atau yang buruk adalah ciptaan Allah SWT menurut pandangan Ahli Sunah.

Beliau menyebut: "Maka ia antara frasa (dan kejahatan bukan dikembalikan kepada Engkau) ayat yang wajib ditakwilkan kerana mazhab ahli Haq adalah kesemua perkara yang baharu adalah ciptaan dan makhluk Allah SWT sama ada yang baik atau yang buruk." Syarah Sahih Muslim

Oleh itu, menurut Ahli Sunah Waljamaah, hamba mempunyai pilihan sama ada melakukan perkara kebaikan atau kejahatan. Namun semuanya tidak terkeluar daripada kehendak Allah SWT. Ia adalah sebagai satu pelaksanaan sebab. Daripada pilihan inilah manusia diuji dan akan diberikan balasan berdasarkan pilihan mereka semasa hidup di dunia.

Ini seperti yang disebutkan oleh Sheikh Abdurrahman bin Hasan Habannakah. Beliau menyatakan: "Justeru perbuatan hamba adalah makhluk Allah melihat kepada muatthir (pemberi kesan) yang hakiki (kehendak Allah). Ia juga adalah perbuatan hamba itu sendiri melihat kepada gambaran sebab yang zahir.

Mereka dengan kehendak mereka melakukan satu perkara dengan pilihan mereka. Oleh kerana itu, di sinilah berlakunya ujian. Begitu juga benar pada akal dan keadilan bahawa perbuatan mereka akan diberikan balasan sama ada pujian dan pahala ataupun celaan dan azab." Al-'Akidah Al-Islamiyah Wa Ususuha, Dar Al-Qalam

Di samping itu, ucapan seperti 'saya melakukan maksiat ini dengan izin Allah SWT' dan seumpamanya jelas sekali salah dari sudut akidah. Ulama membahaskan jika Allah SWT mengizinkan atau berkehendak untuk seseorang melakukan maksiat, ia tidak bermakna Allah SWT reda terhadap perbuatan itu.

Ini kerana terdapat perbezaan di antara kehendak (iradah) Allah SWT dengan keredaan-Nya, iaitu kehendaknya tidak melazimi keredaan-Nya. Hal ini seperti disebutkan oleh Imam al-Baijuri di dalam kitabnya Hasyiah 'ala Jawharat al-Tauhid bahawa: "Kehendak (iradah) Allah SWT berbeza dengan keredaan-Nya (maksud keredaan Allah ialah penerimaan sesuatu perkara dan diberikan balasan baik. Pengarang kitab mendatangkan perbahasan ini bagi menjawab pandangan yang menafsirkan kehendak itu dengan reda Allah SWT). Sesungguhnya kehendak Allah SWT adakalanya berkait dengan apa yang tidak diredai oleh Allah SWT seperti perbuatan kufur yang dilakukan orang kafir. Perbuatan itu dikehendaki oleh Allah SWT, namun Dia tidak meredainya." Ibrahim al-Laqqani, Hasyiah 'ala Jawharat al-Tauhid

Kesimpulan

Perbuatan menisbah kejahatan, keburukan dan maksiat yang dilakukan kepada Allah SWT ialah perbuatan tidak beradab terhadap-Nya. Ya, Allah SWT menciptakan semua perkara termasuk keburukan dan kejahatan, namun sebagai adab terhadap Allah SWT kita tidak boleh menisbahkan kepada-Nya kecuali perkara baik.

Menurut Ahli Sunah Waljamaah, setiap hamba Allah mempunyai pilihan sama ada melakukan kebaikan atau kejahatan. Namun semuanya tidak terkeluar daripada kehendak Allah SWT. Daripada pilihan inilah manusia diuji dan akan diberikan balasan berdasarkan pilihan mereka ketika di dunia.

Selain itu, ucapan 'saya melakukan maksiat ini dengan izin Allah SWT' tidak melazimi bahawa Allah SWT reda terhadap perbuatan maksiat itu. Ini kerana kehendak (iradah) Allah SWT tidak melazimi keredaan-Nya. Sesiapa yang melakukan maksiat dengan pilihan dan kehendaknya sendiri, dia mendapat kemurkaan Allah SWT.

Ucapan sebegini sewajarnya tidak disebut dan dielakkan, apatah lagi jika diniatkan untuk menghalalkan perbuatan maksiat dilakukan seseorang.

Wallahu a'lam.

Penulis Mufti Wilayah Persekutuan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2021 @ 9:05 AM