TRADISI rumah terbuka mengandungi  amalan mulia seperti menjamu makanan, mengeratkan silaturahim, ziarah-menziarahi, menghulurkan sedekah serta memuliakan tetamu.
TRADISI rumah terbuka mengandungi amalan mulia seperti menjamu makanan, mengeratkan silaturahim, ziarah-menziarahi, menghulurkan sedekah serta memuliakan tetamu.
BERSAMA DATUK MOHD AJIB ISMAIL

Ketibaan Aidilfitri pada tahun ini bakal disambut meriah oleh umat Islam di seluruh dunia khususnya masyarakat di negara kita Malaysia yang meraikannya. Tradisi kunjung-mengunjung dan acara rumah terbuka Aidilfitri yang menjadi budaya saban tahun dijangka kembali memeriahkan suasana sambutan hari raya.

Lazimnya acara tersebut dianjurkan oleh pelbagai pihak sama ada di rumah, pejabat mahupun lokasi yang lain terutama sekembalinya orang ramai ke bandar dan tempat kerja masing-masing selepas pulang menyambut hari raya di kampung halaman. Tradisi berkenaan adalah salah satu cara untuk menzahirkan perasaan gembira dan bersyukur atas nikmat yang dikurniakan Allah SWT setelah sebulan umat Islam memberikan tumpuan sepenuhnya bagi melaksanakan ibadah sepanjang Ramadan. Segala bentuk kegembiraan dan kemeriahan dalam suasana sambutan Aidilfitri adalah sebahagian daripada tuntutan ajaran Islam selagi bersesuaian dan selaras dengan panduan syariat.

Rasulullah SAW sendiri membenarkan penduduk Madinah bergembira apabila tiba Aidilfitri dan Aidiladha. Dalam sebuah hadis daripada Anas bin Malik RA berkata yang bermaksud: "Nabi SAW pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya yang mereka bermain-main (bergembira) pada masa jahiliah pada kedua-dua hari itu. Lalu baginda berkata: Aku datang kepada kamu semua sedangkan kamu memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliah. Sabdanya lagi: Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-dua hari itu dengan yang lebih baik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri." (Riwayat an-Nasa'i)

Tradisi menganjurkan acara rumah terbuka daripada sudut pandangan Islam mengandungi beberapa amalan mulia seperti menjamu makanan, mengeratkan hubungan silaturahim, ziarah menziarahi, menghulurkan sedekah serta memuliakan dan meraikan tetamu. Dalam hal memberikan makanan kepada orang lain, perkara tersebut dianggap sebagai amalan sedekah yang dituntut oleh agama sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amru RA bercerita, bahawasanya ada seorang lelaki bertanya kepada Nabi Muhammad SAW: "Apakah amalan yang paling baik dalam Islam? Beliau menjawab: Engkau memberi makan dan mengucapkan salam kepada orang yang engkau kenal mahupun kepada orang yang tidak engkau kenal." (Riwayat al-Bukhari)

Hadis berkenaan menjelaskan tentang kelebihan amalan memberikan makanan kerana menjadi tanda kemurahan hati dan akhlak yang terpuji serta dapat memberikan manfaat kepada golongan yang memerlukan dan kelaparan. Selain itu, budaya meraikan dan memuliakan tetamu pula adalah perbuatan yang mulia sepertimana maksud sebuah hadis daripada Abi Syuraih al-K'bi, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Barang siapa beriman kepada Allah dan hari Akhirat, hendaknya ia memuliakan tetamunya di bahagian istimewanya iaitu hari dan malam pertama. Menghormati tetamu itu yang wajib tiga hari, lebih daripada itu adalah sedekah baginya dan tidak boleh seorang tetamu tinggal lama sehingga membebankan tuan rumah (hingga mengeluarkannya)." (Riwayat al-Bukhari)

Amalan menghubungkan silaturahim dalam kalangan ahli keluarga dan masyarakat juga mempunyai fadilat yang besar sebagaimana sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Barangsiapa yang ingin diluaskan rezekinya serta dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung pertalian silaturahim." (Riwayat al-Bukhari). Suasana kemeriahan majlis rumah terbuka juga lebih bermakna apabila orang ramai dapat berjabat tangan dan bersalaman memohon kemaafan. Dalam sebuah hadis daripada Al Bara' ia berkata: "Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Tidaklah dua orang Muslim bertemu lalu berjabat tangan kecuali Allah akan memberi ampun kepada kedua-duanya sebelum mereka berpisah." (Riwayat Abu Daud)

Bagaimanapun, beberapa perkara perlu dielakkan ketika kesibukan menerima kunjungan tetamu dan menganjurkan acara rumah terbuka seperti amalan pembaziran, makan secara berlebihan, tidak menghormati tuan rumah, meminta-minta hidangan dan menjalankan aktiviti hiburan yang keterlaluan. Perlu diingat bahawa rumah terbuka bukanlah amalan yang diwajibkan, tetapi digalakkan mengikut kemampuan masing-masing. Justeru tidak perlulah sibuk bertanya jika tidak dipelawa. Namun menjamu orang makan dan memuliakan tetamu itu adalah amalan yang disukai. Adab bertamu ke majlis rumah terbuka mestilah dipelihara pada setiap masa. Hindarilah perbuatan berebut-rebut makanan dan tamak, makan secara berlebihan dan elakkan berada terlalu lama di rumah atau sesuatu majlis. Ingatlah bahawa hidangan yang disediakan adalah untuk dikongsi bersama orang lain.

Selain itu, dalam kesibukan meraikan atau menganjurkan acara rumah terbuka, puasa sunat enam hari pada bulan Syawal jangan pula dilupakan pada penghujung hari yang masih berbaki. Rasulullah SAW mengingatkan dalam sebuah hadis tentang kelebihan amalan tersebut dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Barangsiapa yang berpuasa pada Ramadan kemudian diikuti dengan enam hari pada Syawal, ia adalah bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun." (Riwayat Muslim)

Aidilfitri adalah hari bergembira untuk seluruh umat Islam. Amalan ziarah-menziarahi, menjamu makan, bermaaf-maafan dan bertukar-tukar hadiah sepanjang Syawal adalah harus hukumnya. Ia hanyalah sekadar suatu tradisi yang diamalkan demi mengambil keberkatan sepanjang Syawal yang mulia.

Oleh itu marilah kita bersama-sama mengambil kesempatan tersebut untuk kembali menyatukan hati serta menyuburkan perasaan saling mencintai dan menyayangi dalam segenap lapisan masyarakat.

Jadikanlah tarbiyah Ramadan sebagai bekalan untuk menyambut hari raya dalam keberkatan. Di Wilayah Persekutuan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) pada tahun ini sekali lagi akan mengambil inisiatif menganjurkan majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri@Dataran Merdeka yang menghimpunkan masjid dan surau Jumaat bagi menyediakan gerai jamuan pelbagai juadah untuk disajikan kepada masyarakat yang terdiri dari pelbagai latar belakang bangsa, budaya dan agama.

Penganjuran program itu diharapkan dapat menjalinkan silaturahim dalam kalangan masyarakat khususnya sekitar Wilayah Persekutuan, membentuk semangat kerjasama dan persaudaraan dalam kalangan Jawatankuasa Masjid di Wilayah Persekutuan, menyemai sifat cakna dan prihatin terhadap golongan kurang berkemampuan, serta memasyarakatkan dan mempromosikan masjid di Wilayah Persekutuan sebagai pusat perpaduan dan penyatuan ummah.

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 April 2023 @ 7:00 AM