UMAT Islam yang berhadapan dengan te knologi dan media sosial  perlu mendidik diri  menggunakannya untuk  kebaikan.
UMAT Islam yang berhadapan dengan te knologi dan media sosial perlu mendidik diri menggunakannya untuk kebaikan.
Oleh Farisha Irwayu Abdullah

Ramadan adalah bulan yang mulia untuk umat Islam beribadah dengan penuh khusyuk. Bulan yang di mana umat Islam berusaha untuk menjadi manusia yang bertakwa. Sebagaimana firman Allah SWT: "Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa." (Surah al-Baqarah 2:183)

Maka umat Islam berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan dan kebajikan. Sebagaimana Allah menerangkan yang bermaksud: "Berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan amal-amal yang baik) untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu, dan mendapat Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya; yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar." (Surah al-Hadid 57:21)

Tambahan pula untuk melaksanakan kebaikan boleh sahaja melalui online antaranya bersedekah, menyebarkan pesanan atau perkara yang indah. Bukan itu saja berdasarkan media sosial atau teknologi yang ada inilah manusia boleh menjadi keyboard warrior.

Pilihan berada di pihak kita, kita memilih sama ada teknologi yang ada untuk dihapus atau diurus. Semuanya boleh digerakkan dengan pantas kerana ianya berada di hujung jari, mudah didapati. Bulan baik ini manusia akan berasa lama waktunya. Ada antara kita mengisi masa yang terluang dengan membaca al-Quran dan ada juga lebih menghabiskan masa dengan Facebook, Instagram, TikTok dan media sosial lain sehingga waktu berbuka (iftar).

Pahala dan dosa di bulan Ramadan ini dilipatgandakan. Pahala ibadah semuanya digandakan begitu juga Allah menggandakan dosa dalam setiap maksiat termasuk dengan berbuat jahat di media sosial. Dosa itu meresahkan jiwa dan mengundang murka Yang Maha Esa.

Sekali kita menyebarkan keburukan, dosa akan terpalit dan tertanda dalam hati kita. Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Celakalah seseorang apabila namaku disebut-sebut di hadapannya dan dia tidak mengucapkan selawat kepadaku. Celakalah seseorang, apabila bulan Ramadan menemuinya kemudian berlalu pergi sebelum dia mendapatkan keampunan dan celakalah seseorang yang kedua orang tuanya berusia lanjut namun kedua orang tuanya tidak menjadi sebab yang memasukkannya ke dalam Syurga (kerana tidak berbakti kepada ibu bapanya)." (Riwayat al-Tirmizi)

Jika dilihat dan diperhatikan sekiranya ada perkara viral pasti ada sebahagian antara kita yang mula menggerakkan jari untuk terlibat komen. Berhati-hatilah dalam menilai dan menghukum setiap yang tersebar dan viral. Allah SWT telah berfirman: "Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan." (Surah al-Hujurat 49: 6)

Begitu juga dalam mengupload gambar atau video serta sharing setiap yang ada dalam media sosial itu. Hal ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bersabda: "Tidaklah seseorang hamba menutup aib hamba yang lain, melainkan Allah tutup aibnya di Hari Kiamat nanti."- (Riwayat Muslim).  Perlu diperhalusi sama ada aurat tertutup atau terbuka, perkara yang belum pasti, kematian yang palsu dan sudah tentu tabayyun (selidik) apa sahaja kita lihat, dengar dan terima.

Sekali kita membantu untuk menyebarkan maka kita juga akan peroleh dosa dan kita lebih menyokong pihak mereka untuk melakukan kemungkaran dan kejahatan. Abdullah bin Mas'ud berkata: "Jika kamu melihat saudara kamu melakukan sesuatu dosa, maka janganlah kamu menjadi pembantu syaitan ke atasnya dengan kamu berkata kepadanya: "Ya Allah celakakanlah orang itu! Ya Allah laknatlah orang itu!'. Tetapi hendaklah kamu mendoakan pelaku dosa itu agar dia diampunkan oleh Allah." Oleh itu, hukum menyebarkan gambar orang yang melakukan dosa adalah haram kerana ia termasuk dalam mengaibkan saudara seagama. Perbuatan itu juga termasuk dalam membantu syaitan menyebarkan maksiat di atas muka bumi ini. Walaupun niat kita pada asalnya agar orang lain mengambil pengajaran, ia sebenarnya tidak menghalalkan perbuatan yang haram tersebut.

Justeru sebagai umat Islam yang berhadapan dengan teknologi dan media sosial kita perlu mendidik diri agar menggunakannya ke arah kebaikan walaupun sekadar menyebarkan kata-kata hikmah atau ceramah yang mengingatkan kita kepada Allah dan Rasulullah. Dan menutup aib orang lain agar tidak tersebar serta mencegah kemungkaran. Elakkan diri menghina dan mencaci mereka, risau apa yang dikatakan itu ditujukan kepada kita. Waiyyazubillah min zalik. Lebih baik masa yang ada sepanjang Ramadan ini dipenuhi dengan tadarus, tadabur, bersedekah, mendengar majlis taalim, membantu orang dan berbuat kebaikan. Mudah untuk dapat pahala dan mudah juga untuk dapat dosa.

Penulis pelajar Sarjana Pengajian Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 April 2023 @ 7:00 AM