KITA perlulah sentiasa melatih cara berfikir agar sentiasa berlandaskan kepada ilmu agama dan syariat Allah SWT.
KITA perlulah sentiasa melatih cara berfikir agar sentiasa berlandaskan kepada ilmu agama dan syariat Allah SWT.
Dr Sharifah Basirah Syed Muhsin

Seringkali dalam kehidupan harian, kita akan bermonolog dengan diri kita sendiri. Situasi ini dipengaruhi oleh minda separa sedar dan ia boleh membina pemikiran, kepercayaan, persoalan dan
idea seseorang.

Kita sebenarnya bercakap dengan diri sendiri dan sering melibatkan perbualan yang mendalam tanpa melibatkan orang lain tetapi pemikiran sendiri akan memberi jawapan. Kadangkala jawapan yang terdetik dalam hati atau terdetik suara hati yang berbentuk positif atau berbentuk negatif.

Menurut ahli psikologi, monolog diri ini mempunyai manfaatnya yang tersendiri antaranya ialah membantu seseorang mencapai tujuan atau sesuatu matlamat dengan cara 'yakinkan diri' dengan apa yang kita fikirkan.

Namun, perkara yang membimbangkan ialah apabila terdetik suara hati perkara yang negatif seperti memikirkan sesuatu yang buruk yang akan berlaku, bersangka buruk tentang sesuatu tentang diri sendiri atau orang lain dan lain-lain lagi.

Situasi tidak sihat ini membentuk diri dan tingkah laku sehingga dapat menjatuhkan mood dan motivasi seseorang dalam menguruskan kehidupan seharian. Malah ia boleh mengundang kepada penyakit kerisauan, kegelisahan, panik dan sebagainya.

Terdapat kajian yang dijalankan mendapati 80 peratus diri kita adalah dibentuk melalui unsur dalaman dan hanya 20 peratus sahaja yang melibatkan unsur fizikal.

Penekanan unsur dalaman ini disentuh oleh sarjana Muslim terdahulu seperti Abu Talib al-Makki (w.386H), 'Abd al-Karim al-Qusyairi (w.465H) dan Abu Hamid al-Ghazali (w. 505H) dalam membincangkan tentang jiwa atau al-nafs.

Jiwa atau al-nafs ini akan mendorong seseorang kepada kebaikan dan keburukan. Ia juga dapat membimbing kepada kebenaran dan juga dapat mencela apabila seseorang itu melakukan kejahatan.

Ini menunjukkan al-nafs sangat mempengaruhi cara berfikir dan tingkah laku seseorang itu. Allah SWT telah berfirman dalam surah Qaf 50: 16 yang bermaksud: "Dan sesungguhya Kami menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkannya (oleh syaitan) ke dalam jiwa (keburukan)nya."

Bagaimana cara kita berfikir supaya apa yang kita fikirkan itu akan memberi impak yang positif kepada kita atau apa yang kita fikirkan itu boleh memberi ketenangan kepada jiwa dan emosi kita?

Sehubungan dengan itu, kita perlu sentiasa memikirkan cara untuk mengatasi pemikiran negatif supaya sentiasa tenang dan terus bersemangat dalam menjalani kehidupan. Iaitu dengan cara kita hadirkan Allah SWT dalam setiap sudut fikiran kita.

Dengan kata lain sentiasa mengingati Allah SWT dan syariat-Nya dalam setiap jawapan yang kita fikirkan.

Ini akan mewujudkan rasa tenteram apabila keputusan yang dicapai hasil dari monolog diri seiring dengan aturan Allah SWT. Allah berfirman yang bermaksud: "(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram." (Surah al-Rad, ayat 28)

Aspek sentiasa mengingati Allah SWT ini dilihat sebagai menyentuh soal-soal kejiwaan akhlak dan dapat memberi ketenangan dan kebahagiaan jiwa kerana seseorang itu telah kembali kepada fitrahnya.

Ini kerana unsur-unsur fikiran yang negatif sangat dititik beratkan dalam Islam dalam memperoleh ketenangan jiwa serta amat berkait rapat dengan perhubungan antara manusia dengan Allah SWT, dengan masyarakat sekeliling serta dengan dirinya sendiri.

Ketenangan dan ketenteraman diri seseorang banyak ditentukan oleh kebersihan hati dari unsur positif dan pengamalan ibadah serta kebaikan yang dilakukan oleh seseorang itu.

Sebaliknya, rasa gelisah, bimbang dan tidak bahagia banyak ditentukan oleh fikiran negatif dan kesalahan yang telah dilakukan. Emosi dan cara berfikir yang negatif ini apabila terus menerus dialami ia akan mendatangkan berbagai penyakit sama ada fizikal mahupun psikis. Justeru, mengingati Allah SWT secara sedar membantu mengubah diri seseorang.

Ia dilihat mampu menjadi benteng yang kuat kepada jiwa seseorang. Antara implikasi positif yang diperoleh daripada sentiasa mengingati Allah SWT ialah dapat membebaskan seseorang dari belenggu rohani seperti kelalaian dan kealpaan, menghilangkan hijab yang menghalang, sentiasa bersama-Nya dan sentiasa merindukan kalam-kalam Allah SWT.

Akhirnya akan wujudlah kedamaian dan ketenangan yang dapat membantu mengawal setiap tekanan, keresahan, kebimbangan yang dirasai.

Oleh itu, kita perlulah sentiasa melatih cara berfikir agar sentiasa berlandaskan kepada ilmu agama dan syariat Allah SWT. Keadaan ini secara tidak langsung akan membuahkan rasa ketenangan dan kebahagiaan hati sekali gus mencerminkan perilaku yang terkawal dan positif.


Penulis  Pensyarah Kanan,  Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam,  Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Oktober 2021 @ 11:10 AM