Fatimah Syarha Mohd Noordin

Pendakwah

TIDAK kira siapa pun kita, setiap hari kita pasti diuji. Namun usah bimbang kerana Allah SWT mendedahkan rahsia ketenangan.

Dia Maha Tahu apa yang hamba-Nya perlukan dalam kehidupan.

Firman-Nya yang bermaksud: “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” (Surah al-Rad, ayat 28)

Bagaimana cara kita menghadapi waktu sukar setelah mengetahui rahsia ketenangan itu? Adakah kita percaya dan mengamalkan rahsia hebat itu? Kita boleh memilih cara berfikir positif saat diuji.

Sehubungan itu, kita perlu sentiasa memikirkan cara untuk melawan segala perasaan sedih, kecewa dan berputus asa supaya sentiasa tenang dan bersemangat.

Berzikir akan mewujudkan keimanan dalam diri seperti yang ditegaskan dalam ayat di atas: “Orang yang beriman, hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah.”

Iman bermaksud, meyakini Allah SWT mencintai dan mengambil berat. Mereka yang beriman juga percaya setiap kesusahan dan ujian yang dialami datangnya daripada Allah SWT.

Allah SWT menimpakan kesusahan dan ujian buat hamba-Nya untuk meningkatkan lagi keimanan dan kualiti kehidupan hamba-Nya.

Setiap dugaan yang dihadapi mungkin sukar, tetapi Allah SWT turut menyediakan jalan keluar untuk setiap kesusahan.

Setelah berusaha, kita hanya perlu menyerahkan segala-galanya kepada Allah SWT.

Beriman juga adalah proses pembelajaran tanpa had. Mungkin kita sudah diajar dengan prinsip keimanan, tetapi apabila berdepan masalah, kita masih tidak dapat menghadapinya dengan hati terbuka.

Kita juga mungkin menganggap diri sudah beriman, tetapi masih berkeluh-kesah, bersangka buruk dan menyalahkan takdir apabila ditimpa ujian.

Apabila dilanda ujian, diri menjadi takut dan panik. Maka, kembalilah dengan cara berzikir, berdoa serta mendirikan solat.

Allah SWT sentiasa menjaga dan merawat sehingga kehidupan kita semakin baik hari demi hari.

Keyakinan itu akan meneguhkan keimanan dalam diri serta membuang kegelisahan terhadap masa hadapan dan membentuk ketenangan dalam hati.

Doa juga dapat membuatkan kita sentiasa mengingati Allah SWT. Fikirkan satu doa paling kita ingat dan ucapkanlah doa itu.

Renungkan bagaimana kita mengingati Allah SWT dalam surah al-Fatihah, iaitu doa paling banyak dibaca.

Tujuan doa dan solat yang kita kerjakan setiap hari adalah untuk sentiasa mengingati Allah SWT.

Namun, solat yang tidak khusyuk tetap tidak akan menambah keimanan dan mendatangkan ketenangan.

Ini kerana, sistem saraf, jantung dan semua bahagian tubuh bertindak balas terhadap apa yang kita fikirkan.

Keresahan dalam benak fikiran akan mewujudkan tekanan dan menjejaskan kesihatan.

Justeru, mengingati Allah SWT secara sedar membantu mengubah diri. Sekiranya kita melakukannya secara konsisten, kita akan sentiasa merasa dilindungi dan dikasihi.

Pada akhirnya, ia mewujudkan kedamaian dan ketenangan yang dapat membantu mengawal tekanan dan keresahan.

Perkara itu juga memberi keyakinan dalam diri bahawa apapun yang berlaku pasti terkandung hikmah dan kita akan memperoleh kebaikan pada akhirnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 September 2019 @ 6:57 AM