GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Qira’ah Fatwa

Boleh jelaskan mengenai hukum tidur di dalam satu selimut sama seperti yang selalu berlaku di asrama.

Terdapat petunjuk nabawi disampaikan melalui sebuah hadis riwayat daripada Abu Sa’id al-Khudri.

Rasulullah bersabda bermaksud: “Tidak boleh seorang lelaki melihat kepada aurat lelaki yang lain dan tidak boleh bagi seorang perempuan melihat aurat perempuan yang lain. Serta tidak boleh seorang lelaki berbaring dengan lelaki lain di dalam selimut yang sama demikian juga tidak boleh seorang perempuan berbaring dengan perempuan lain di bawah selimut yang sama.” Riwayat Muslim (338)

Imam al-Nawawi berkata: Hadis itu menunjukkan haram seorang lelaki melihat aurat lelaki dan haramnya seorang perempuan melihat aurat perempuan yang lain.

Dalam mazhab Imam al-Syafi’e, aurat sesama lelaki adalah antara pusat hingga lutut. Demikian juga aurat antara perempuan dengan perempuan lain.

Haram bagi seorang lelaki melihat aurat seorang perempuan dan haram seorang perempuan melihat aurat lelaki secara ijmak.

Kata al-Nawawi lagi: (Larangan berbaring di dalam satu pakaian atau selimut terhadap dua lelaki) adalah larangan pengharaman sekiranya tiada lapik antara mereka.

Pada hadis itu menunjukkan haram menyentuh aurat orang lain pada setiap tempat anggota badannya. Ini adalah perkara disepakati serta menjadi perkara yang diketahui umum.

Orang ramai bermudah-mudahan dalam isu itu dengan berkumpul di dalam bilik mandi sama. Maka, wajib kepada mereka yang berada di situ memelihara pandangan, tangan dan anggota lain terhadap aurat orang lain.

Wajib juga dia memelihara aurat dirinya daripada perhatian dan tangan orang lain. Lihat al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, al-Nawawi (4/25)

Syeikh al-Azhim Abaadi menukilkan kata-kata al-Thibi yang menyebut: Tidak boleh dua lelaki baring di bawah satu selimut dalam keadaan keduanya tidak berpakaian (telanjang).

Demikian juga orang perempuan. Sesiapa yang melakukan perbuatan itu perlu ditakzir. Rujuk ‘Aun al-Ma’bud Syarah Sunan Abi Dawud, Shams al-Haq al-Azhim Abaadi (11/43)

Selepas meneliti beberapa hujahan dikemukakan fuqaha, kita hendaklah menekuni beberapa perkara iaitu:

• Hadis itu menitikberatkan isu aurat antara sesama jenis. Dari sudut menyatakan pengharaman ke atas seorang lelaki dan perempuan untuk melihat dan menyentuh aurat kaum sejenis tanpa sebarang keperluan.

• Larangan baring satu selimut bagi dua lelaki adalah bagi mengelakkan berlaku sentuhan dan melihat aurat satu sama lain. Kerana itu ia dihuraikan oleh ulama dalam keadaan kedua-duanya tidak berpakaian.

• Hadis itu tidak merujuk kepada pasangan suami isteri. Bahkan, dalam mazhab Imam al-Syafie, boleh bagi seorang suami melihat seluruh aurat isteri dan begitu sebaliknya.

Melainkan ada pengecualian pada bahagian kemaluan. (Isu hukum memandang kemaluan pasangan mempunyai perbahasan yang panjang dalam mazhab)

• Sekiranya kedua-dua lelaki berpakaian lengkap menutup aurat, tetapi cuaca dan suhu sekeliling dalam keadaan sejuk lalu kedua mereka tidur di bawah selimut atau ‘comforter’, maka ia tidak termasuk dalam perbuatan dilarang dalam hadis itu.

Namun, secara asasnya memisahkan tempat tidur antara satu sama lain bertujuan mengelakkan perkara yang boleh membawa keharaman.

Sumber: Al-Kafi Li Al-Fatawi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 November 2018 @ 10:37 AM