GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Qira’ah Fatwa

BOLEH jelaskan hukum menangis ketika membaca al-Quran terutamanya ketika sedang solat?

Menangis adalah salah satu rahmat yang dicampakkan oleh Allah SWT ke dalam jantung hati hamba-Nya yang beriman. 

Ia lambang kesucian jiwa, ketulusan hati serta zahir sifat khasyiatullah seorang hamba.

Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA, beliau menceritakan, ketika anakanda Rasulullah SAW bernama Ibrahim meninggal dunia, berlinanglah kedua-dua mata Baginda SAW. Lalu Abd Al-Rahman bin Auf berkata: “Kamu juga menangis wahai Rasulullah?” Maka jawab Rasulullah SAW yang bermaksud: “Wahai anak lelaki ‘Auf, sesungguhnya ia (tangisan) itu merupakan suatu rahmat.” (Riwayat Al-Bukhari - 1303)

Perbuatan menangis ketika membaca al-Quran pula adalah sifat golongan salaf serta syiar hamba Allah yang soleh.

Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Sa’d bin Abu Waqqas RA, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya al-Quran ini turun dengan kesedihan. Maka apabila kamu membacanya hendaklah kamu menangis. Sekiranya kamu tidak menangis hendaklah kamu buat-buat menangis.” (Riwayat Ibn Majah - 1337)

Demikian juga terdapat sebuah atsar yang menyebutkan secara khusus akan perbuatan menangis ketika membaca ayat al-Quran di dalam solat. 

Ini seperti yang disebutkan oleh Abdullah bin Syaddad, beliau berkata, maksudnya: “Aku mendengar tangisan teresak-esak Umar bin Al-Khattab dalam keadaan aku pada ketika itu berada di saf yang terakhir dalam solat Subuh. Beliau ketika itu membaca ayat daripada surah Yusuf, maksudnya: Sesungguhnya aku mengadu kesedihan dan dukacitaku kepada Allah.” (Lihat Syu’ab Al-Iman, Al-Baihaqi - 3/414)

Berkenaan cara menghadirkan perasaan sedih dalam pembacaan al-Quran, berikut kami kongsikan kata-kata Imam Al-Nawawi Rahimahullah: 

Cara untuk mendapatkannya (tangisan) adalah dengan menghadirkan perasaan sedih di dalam hati dengan cara meneliti apa yang terdapat di dalam al-Quran daripada ancaman serta amaran yang keras. Begitu juga (dia mengingati) perjanjian (antara dirinya dengan Allah SWT) dan memikirkan secara mendalam kekurangannya dalam hal berkenaan. Sekiranya dia tidak mampu menghadirkan perasaan dukacita dan tangisan sebagaimana yang berlaku kepada golongan Al-Khawaas, maka hendaklah dia menangis atas ketidakmampuannya (dalam menghadirkannya) kerana hal itu adalah antara sebesar-besar musibah. (Rujuk Al-Tibyan fi Adab Hamalat Al-Quran, Al-Nawawi - halaman 90)

Beliau juga menyebutkan kata-kata Hujjat Al-Islam, Al-Ghazali Rahimahullah: Menangis itu dituntut berserta dengan bacaan al-Quran dan juga ketika (dibacakan) al-Quran.

Kesimpulannya, kami menyatakan hukum menangis ketika membaca al-Quran adalah dibenarkan. 

Bagaimanapun, perlu dijelaskan bahawa dalam mazhab Syafi’e, sekiranya perbuatan menangis di dalam solat itu nyata mengeluarkan sebutan dua huruf sama ada memiliki makna atau tidak, atau satu huruf tetapi memiliki makna seperti qi yang bermaksud peliharalah, maka batallah solatnya. 

Jika tidak jelas sebutan dua hurufnya, maka tidak batal solat seseorang itu.

>>Sumber: Al-Kafi Li al-Fatawi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Disember 2019 @ 6:45 AM