NURMIRA (kiri) bersama rakan dan ‘Foreman Welder’.
NURMIRA (kiri) bersama rakan dan ‘Foreman Welder’.
Muhamaad Razis Ismail


MENGIKUT perancangan awal, selepas menamatkan persekolahan, anak kedua daripada empat beradik ini ingin menjadi tentera.

Bagaimanapun disebabkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang kurang memberangsangkan, Nurmira Allya Hamiza terpaksa melupakan cita-cita itu.

Namun, anak jati Kampung Gadong, Negeri Sembilan itu tidak berputus asa apabila kemudiannya melanjutkan pelajaran dalam bidang kimpalan di GiatMara Seremban.

Siapa sangka, selepas sembilan bulan, pada usia 21 tahun, dia kini bekerja sepenuh masa sebagai jurukimpal aluminium di sebuah syarikat kejuruteraan yang memiliki kepakaran membina bot dan kapal di Langkawi, Kedah.

Katanya, segalanya bermula apabila dia terlihat perkongsian di media sosial mengenai seorang jurukimpal wanita sehingga membuatkannya tertarik untuk menceburi bidang itu.

"Kemudian ibu saudara mencadangkan saya memohon belajar di GiatMara yang lebih mengutamakan kemahiran dalam tempoh yang singkat.

"Pada mulanya, saya agak kekok untuk mengimpal namun lama-kelamaan dapat membiasakan diri sehingga timbul minat untuk lebih serius menceburi bidang ini.

"Alhamdulillah baru sahaja selesai menduduki peperiksaan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3, saya tidak perlu menunggu lama apabila terus diterima bekerja pada 2022," katanya.

Nurmira berkata, bukan mudah untuk menjadi seorang jurukimpal aluminium kerana ia memerlukan kemahiran, ketelitian dan kesabaran yang tinggi.

"Banyak 'pantang larang' yang perlu diikuti untuk melakukan kimpalan aluminium antaranya perlu dilakukan di kawasan tertutup untuk mengelakkan angin dan cahaya matahari.

"Selain itu, permukaan aluminium juga perlu dipastikan sentiasa bersih untuk menghasilkan kimpalan yang baik.

"Aspek ini perlu dititik beratkan untuk memastikan kapal dan bot yang dihasilkan memenuhi kehendak spesifikasi dan tahap kepenggunaan yang ditetapkan," katanya.

Menurutnya, bekerja dalam sektor pekerjaan yang dikategorikan sebagai 3D (kotor, bahaya, sukar) ini, dia berdepan dengan pelbagai risiko.

"Apabila perlu mengendalikan peralatan kimpalan yang mengeluarkan cahaya dan asap dalam satu tempoh yang lama, tidak dinafikan ia boleh memberi kesan kepada kesihatan sekiranya tidak mematuhi amalan kerja yang ditetapkan.

"Justeru itu, saya perlu sentiasa mematuhi prosedur kerja yang ditetapkan termasuk memakai peralatan keselamatan seperti cermin mata keselamatan, sarung tangan dan alat pelindung muka ketika menjalankan tugas," katanya.

Dia mengakui pada mulanya bapanya kurang bersetuju dengan pilihannya untuk menceburi bidang kimpalan kerana bimbangkan keselamatannya sebagai wanita.

"Berbeza dengan ibu yang daripada awal sudah memberi 'lampu hijau' kepada saya untuk terbabit dalam bidang yang diminati. Bagi, ibu tidak salah mencuba melakukan sesuatu perkara yang diminati.

"Alhamdulillah, apabila berjaya menamatkan pelajaran dan kini sudah bekerja, bapa sudah boleh menerima dengan hati terbuka," katanya.

Jelasnya, biarpun bekerja dalam bidang yang didominasi lelaki, situasi itu tidak membuatkannya berasa kekok untuk menyesuaikan diri dengan cepat.

"Malah, biarpun mereka sudah lama dan berpengalaman di sini, mereka tidak lokek berkongsi ilmu dan sentiasa sedia membantu sebagai satu pasukan," katanya.

Baginya untuk menjadi seorang juru kimpal, seseorang itu perlu mempunyai sikap ingin tahu dan tidak malu bertanya.

"Biarpun sudah bekerja, saya perlu sentiasa belajar dan berlatih untuk memantapkan kemahiran mengimpal dari semasa ke semasa," katanya.

Berkongsi mengenai perancangan masa hadapan, dia ingin mengembangkan kerjaya ke peringkat yang lebih tinggi.

"Untuk itu saya perlu menjalani kursus lanjutan untuk merealisasikan impian untuk menjadi Inspektor Kimpalan

"Pada masa sama, saya turut mencuba nasib ke luar negara untuk menambah pengalaman dengan memohon bekerja di sebuah syarikat yang berpangkalan di Norway ," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2024 @ 7:00 AM