GEMAR melakukan aktiviti lasak.
GEMAR melakukan aktiviti lasak.
MINAT menjadi pendorong untuk menjadi jurukimpal.
MINAT menjadi pendorong untuk menjadi jurukimpal.
Muhamaad Razis Ismail


BERBEKALKAN cermin mata keselamatan, sarung tangan dan alat pelindung muka, wanita ini dilihat begitu fokus melakukan kerja-kerja mengimpal paip besi.

Biarpun baru lima bulan berkecimpung dalam bidang kimpalan, dia tidak kekok dan cekap mengendalikan peralatannya untuk menghasilkan kimpalan berkualiti.

Siapa sangka individu di sebalik peralatan perlindungan diri itu adalah salah seorang daripada tiga wanita yang bertugas sebagai jurukimpal di Malaysia Marine And Heavy Engineering Sdn Bhd, di Pasir Gudang, Johor.

Biarpun menyedari memerlukan kelayakan, kemahiran, kekuatan fizikal dan mental yang tinggi, minat mendalam terhadap bidang kimpalan mendorong pemilik nama Nazira Nasip, 26, merealisasikan cita-cita sebagai seorang jurukimpal.

Tarikh 5 September tahun lalu menjadi detik bersejarah dalam hidup anak jati Tuaran, Sabah ini apabila diterima bekerja di syarikat kejuruteraan itu.

Anak ketiga daripada empat beradik itu berkata, minat terhadap bidang kimpalan tercetus ketika melanjutkan pelajaran di Politeknik Kota Kinabalu dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal.

"Sejak dari sekolah, saya gemar melakukan perkara yang mencabar untuk meningkatkan kemahiran dan potensi diri. Antaranya saya suka melakukan pelbagai aktiviti lasak termasuk terbabit secara aktif dalam unit beruniform kadet bomba .

"Ketika melanjutkan pelajaran di Politeknik Kota Kinabalu, saya menjadi anggota Rejimen 507 Askar Wataniah di bawah kelolaan politeknik," katanya.

Menurutnya, di politeknik, dia berpeluang mempelajari asas kimpalan sehingga mencetus minat untuk menjadi seorang jurukimpal.

"Seterusnya, saya mengambil Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3 di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Pasir Gudang, Johor selama lebih dua tahun tiga bulan untuk meningkatkan kemahiran dalam bidang kimpalan.

"Ketika di ILP, saya didedahkan dengan lebih banyak proses kimpalan seperti kimpalan arka tungsten gas (GTAW), kimpalan arka logam berperisai (SMAW), kimpalan logam Gas Lengai (MIG) dan kimpalan Arka Teras Bersalut (FCAW)," katanya.

Katanya, selepas menamatkan pelajaran, dia menghadiri temu duga terbuka dan diterima bekerja sebagai jurukimpal di sebuah syarikat kejuruteraan.

"Di sini, saya dipertanggungjawabkan melakukan kimpalan GTAW di 'Centralize Piping Workshop'," katanya.

NAZIRA (kiri) kekok bekerja dengan rakan setugas lelaki.
NAZIRA (kiri) kekok bekerja dengan rakan setugas lelaki.

Jelasnya, biarpun bekerja dalam bidang yang dominasi lelaki, situasi itu tidak membuatkannya berasa kekok untuk menyesuaikan diri dengan cepat.

"Pada awalnya penerimaan agak dingin namun lama-kelamaan mereka tidak lokek berkongsi ilmu dan sentiasa memberi tunjuk ajar," katanya.

Tambahnya, cabaran lain yang dihadapi adalah terpaksa tinggal berjauhan daripada keluarga demi mengejar cita-cita.

"Mereka adalah penyokong dan pendorong paling kuat sehingga saya berjaya sampai ke tahap ini. Tipulah saya katakan tidak rindukan mereka, namun saya kuatkan hati.

"Bagi mengubat kerinduan, setiap hari saya akan hubungi mereka dan pulang ke kampung pada setiap dua bulan," katanya.

Nazira berharap lebih ramai wanita menceburi bidang kimpalan kerana banyak peluang disediakan untuk kerjaya ini.

"Bagaimanapun untuk berjaya dalam bidang ini, anda perlu bersedia daripada segi fizikal dan mental, berani berinteraksi dengan pekerja lain serta jangan malu bertanya," katanya.

Ditanya perancangan masa hadapan, dia ingin mengembangkan kerjayanya untuk menjadi seorang jurutera kimpalan.

"Untuk memudahkan laluan ke arah merealisasikan cita-cita itu, saya berhasrat melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2023 @ 7:01 AM