KALI terakhir dianjurkan pada 2018, Jamboree Peminat 4x4 Malaysia kembali dengan lebih jaya membabitkan penyertaan 135 kelab pacuan empat roda (4x4) seluruh semenanjung Malaysia.
Sungai Lebir di Gua Musang, Kelantan dipilih sebagai lokasi menghimpunkan peserta dan peminat sukan lasak selama tiga hari dua malam bermula 4 hingga 6 Ogos lalu.
Program sebelum ini dikenali Kambori Sahabat 4x4 Malaysia itu kembali diperkenalkan dengan penyertaan lebih ramai peminat kenderaan lasak, sekali gus menyaksikan buat pertama kalinya hampir seribu kenderaan pacuan empat roda dengan hampir 3,000 peserta mengambil bahagian.
Pengarah Program, Khairul Badri Abdul Basit berkata, tujuan utama aktiviti di tapak perkhemahan seluas lebih 20 ekar itu bagi merapatkan ukhwah antara peminat 4x4 dengan tema 'Satu Semangat, Satu Suara'.
Katanya, di bawah satu bumbung, tiada perbezaan antara kelab, bangsa dan agama maka keakraban antara setiap peserta diutamakan supaya program dapat berkembang dengan lebih besar.
"Selain itu, melalui keutuhan kerjasama setiap kelab 4x4, harapan utama kami ialah program sebegini diiktiraf dan diangkat mewakili Malaysia bagi sebarang penyertaan jambori di luar negara.
"Selama seminggu, lebih 100 petugas berkampung di tapak perkhemahan bagi memastikan persiapan rapi dilakukan supaya program dapat berjalan dengan lancar.
"Aktiviti utama dianjurkan dan dinanti setiap peminat ialah Challenge GPX4 iaitu sukan cabaran lasak kenderaan pacuan empat roda yang memerlukan setiap peserta melalui enam laluan 'Special Stage' atau 'SS' yang mencabar," katanya.
Antara kelab kenderaan pacuan empat roda menyertai jambori ialah Triton Tuners Club, Team Scoring, Kelab Terjoh 4x4 Kuala Terengganu, GTU 4x4, Malaysia Mountaineer Four Wheels (MMFW), Malaysian 4 Wheels (M4W), Pahang Truckers, PKGM dan banyak lagi.
Khairul Badri berkata, dua kategori dipertandingkan iaitu 'Short Wheel Base' (SWB) dan 'Long Wheel Base'
(LWB) yang menyaksikan 46 pasukan mengambil bahagian bagi menguji kecekapan pengendalian kereta pacuan empat roda masing-masing.
'Lite Core Challenge' atau cabaran peringkat ringan yang menyaksikan lima pemenang bagi setiap kategori.
Johan membawa pulang RM2,000 berserta trofi dan hamper, manakala naib johan membawa pulang RM1,500 bersama trofi dan hamper. Tempat ketiga membawa pulang hadiah RM800, trofi dan hamper.
Juara kategori SWB diungguli wakil pasukan Rubber Tipper, Pahang. Naib juara pula pasukan Korat dari Perak manakala tempat ketiga dari pasukan Lacar Group, Kelantan.
Untuk kategori LWB, johan milik pasukan TXV dari Selangor. Naib johan pasukan Tembo dari Terengganu dan tempat ketiga pasukan Melor, Kelantan.
Bagi memeriahkan program, turut diadakan gerai jualan, aktiviti kerohanian, ceramah agama dan tidak lupa juga persembahan nyanyian artis jemputan.
Pada malam kemuncak turut menyediakan 36 cabutan bertuah dengan hadiah bernilai lebih RM3,000.