SENTIASA mementingkan ketelitian.
SENTIASA mementingkan ketelitian.
Muhamaad Razis Ismail


PENANGAN pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak tahun lalu, mengakibatkan ramai yang terjejas.

Apa tidaknya ramai yang hilang pekerjaan sehingga ada terpaksa bekerja di luar bidang diceburi.

Tidak kurang juga yang kreatif 'mencipta' pekerjaan sendiri untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Sebaliknya, Farah Izzaaty Afifi Ishak, 23, memanfaatkan peluang yang ada untuk memajukan perniagaan selepas menamatkan pengajian dalam bidang seni bina, pada tahun lalu.

Tidak hanya duduk diam, beliau memanfaatkan bakatnya dalam seni lukis untuk menjana pendapatan sampingan.

Lebih menarik, anak kedua daripada empat beradik ini menggunakan tablet untuk menghasilkan lukisan yang memberi fokus seni bina bangunan.

Baharu sahaja bermula iaitu September tahun lalu, lukisannya mendapat sambutan peminat dari dalam dan luar negara yang tertarik dengan bakat

dimiliki gadis berasal dari Dengkil, Selangor ini.

Pada usia yang masih muda, dia bijak menggabungkan seni dan fesyen apabila bergaya seperti model muka depan majalah ketika bergambar di sisi karya seninya sehingga menarik perhatian ramai.

Gambar itu kemudian dimuat naik ke dalam Instagram miliknya sebagai salah satu usaha mempromosi dan menjual karya seninya itu.

Beliau berkata, melukis sudah sebati dalam dirinya sejak dari kecil dan bermula sekadar hobi.

"Saya mula mengambil tempahan lukisan sejak masih belajar di universiti namun dalam jumlah yang terhad kerana perlu fokus dengan pelajaran.

"Secara kebetulan, selepas menamatkan pengajian, negara dilanda Covid-19 dan masa yang terluang di rumah saya manfaatkan dengan kembangkan bakat untuk hasilkan lukisan.

SELESA menggunakan tablet untuk menghasilkan lukisan.
SELESA menggunakan tablet untuk menghasilkan lukisan.

"Tidak sangka, lukisan yang dijenamakan sebagai 'byflwrsartwork' mendapat maklum balas positif," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, lukisan yang dihasilkan sama ada ditempah atau dihasilkan sendiri untuk dijual kepada peminat seni di dalam atau luar negara.

"Setiap lukisan yang ditempah, kadang kala mengambil masa sehingga enam bulan untuk disiapkan kerana saya cukup mementingkan ketelitian.

"Biasanya pelanggan yang membuat tempahan, faham dan mereka tidak kisah menunggu lama kerana mahukan yang terbaik," katanya.

Jelasnya, karya seni yang dihasilkan tidak mudah kerana menggunakan konsep seni bina 'Royal' dan 'Rococo.'

"Konsep ini agak mencabar kerana memerlukan ketekunan dan ketelitian yang tinggi terutama untuk menghasilkan kerawang.

"Selain itu, saya perlu bijak membahagikan masa kerana mempunyai pekerjaan hakiki sebagai pereka hiasan dalaman. Biasanya saya mula melukis pada 9 malam hingga 12 tengah malam," katanya.

BIJAK menggabungkan seni dengan fesyen.
BIJAK menggabungkan seni dengan fesyen.

Mengakui selesa menggunakan tablet kerana mudah untuk dibawa ke mana-mana sahaja.

"Setiap pelukis memiliki kaedah dan teknik tersendiri malah saya bersyukur setakat ini tiada mempertikaikan teknik saya gunakan ini.

"Malah saya pernah mengendalikan bengkel yang dianjurkan sebuah jenama telefon pintar dan syarikat komunikasi terkemuka untuk berkongsi idea menghasilkan seni menggunakan tablet pada September tahun lalu," katanya.

Ditanya mengenai perancangan masa hadapan, katanya dia mahu fokus menghasilkan lukisan memaparkan istana Melayu sempena sambutan Aidilfitri.

"Oleh itu, saya berhenti sementara daripada menerima sebarang tempahan lukisan untuk fokus kepada projek ini.

"Jika diberi peluang, saya mahu adakan pameran sendiri untuk mengenengahkan lukisan saya supaya untuk dikenali lebih dikenali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2021 @ 7:00 AM