AMBLIOPIA menyebabkan mata akan menjadi tidak selari dan mungkin menjadi juling. - FOTO Google
AMBLIOPIA menyebabkan mata akan menjadi tidak selari dan mungkin menjadi juling. - FOTO Google
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Adakah si kecil kesayangan anda mengalami kesukaran untuk melihat objek yang jauh?

Selain itu, adakah anak anda mengalami pergerakan mata abnormal, juling atau postur kepala yang abnormal?

Jangan pandang remeh kerana semua itu adalah petanda yang menunjukkan si kecil kesayangan mungkin mengalami ambliopia.

Ambliopia atau dikenali sebagai 'mata malas' merujuk kepada penglihatan yang kabur dan tidak dapat dibetulkan dengan cermin mata, kanta lekap atau pembedahan mata.

Biasanya, mata kelihatan normal dan tiada sebarang penyakit mata dikesan.

Masalah itu selalunya berlaku pada satu mata sahaja dan jarang sekali pada kedua-dua belah mata.

Ambliopia boleh berlaku sejak lahir atau dari saat kanak-kanak mula menggunakan mata mereka.

Ia berlaku kerana terdapat halangan penglihatan dan perkembangan abnormal pada laluan mata ke otak.

Namun, dengan pengesanan awal dan rawatan yang sewajarnya, kanak-kanak sebenarnya boleh pulih daripada ambliopia.

Menurut Pakar Perunding Mata Kanak-kanak dan Pakar Bedah Strabismus, Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr Fiona Chew Lee Min, untuk mendiagnos ambliopia terhadap kanak-kanak memang menjadi cabaran.

KANAK-KANAK disarankan untuk menjalani pemeriksaan mata ketika berusia enam bulan, tiga tahun,  enam tahun dan seterusnya setiap dua tahun untuk mengenalpasti sebarang masalah mata. - FOTO Google
KANAK-KANAK disarankan untuk menjalani pemeriksaan mata ketika berusia enam bulan, tiga tahun, enam tahun dan seterusnya setiap dua tahun untuk mengenalpasti sebarang masalah mata. - FOTO Google

Ini disebabkan mereka tidak tahu untuk mengadu mengenai simptom yang dialami selain tidak mengetahui apa itu penglihatan normal.

"Jika si kecil kerap terjatuh atau terlanggar objek, mempunyai masalah penglihatan tiga dimensi seperti ketika turun tangga, menyelesaikan susun suai gambar, mengalami masalah tumbesaran yang lewat dan juga masalah berkaitan sukan atau kerja rumah, ibu bapa perlu waspada kerana ia juga mungkin disebabkan ambliopia, "katanya.

Mengulas lanjut, Dr Fiona berkata, kanak-kanak kini boleh didiagnosis dengan ambliopia lebih awal kerana terdapat peningkatan program saringan penglihatan dan pemeriksaan mata di tadika dan sekolah.

Kesedaran mengenai kesihatan mata kanak-kanak juga semakin meningkat dalam kalangan masyarakat.

Kata beliau, ambliopia boleh disahkan selepas pemeriksaan mata secara menyeluruh dilakukan pakar mata termasuk ujian ketajaman penglihatan, ujian refraksi, ujian ortoptik atau pemeriksaan juling dan pemeriksaan keluasaan mata (dilated eye examination) untuk menentukan penyebab ambliopia berlaku.

Kemudian, rawatan akan ditentukan bergantung kepada penyebab ambliopia itu sendiri.

AMBLIOPIA boleh disahkan selepas pemeriksaan mata secara menyeluruh dilakukan oleh pakar mata termasuk ujian ketajaman penglihatan, ujian refraksi, ujian ortoptik atau pemeriksaan juling dan pemeriksaan keluasaan mata (dilated eye examination). - FOTO Google
AMBLIOPIA boleh disahkan selepas pemeriksaan mata secara menyeluruh dilakukan oleh pakar mata termasuk ujian ketajaman penglihatan, ujian refraksi, ujian ortoptik atau pemeriksaan juling dan pemeriksaan keluasaan mata (dilated eye examination). - FOTO Google

"Sebagai contoh, kanak-kanak yang mempunyai kelainan refraksi mata (memerlukan mereka untuk memakai kaca mata), katarak, juling, kelopak mata jatuh dan masalah retina perlu dirawat dan selepas itu perkembangan visual mereka akan bertambah baik.

"Namun jika sebaliknya, pesakit mungkin perlu menjalani 'penalisation treatment' atau terapi dikoptik," katanya.

Jelas Dr Fiona lagi, rawatan penalisation treatment akan mengaburkan penglihatan pada mata yang tidak bermasalah dan memaksa otak untuk menggunakan mata malas itu melalui penutup mata, ubat titis mata atau kanta mata khas.

Katanya, rawaran terapi dikoptik pula membabitkan latihan tertentu atau permainan digital untuk meningkatkan perkembangan mata ke otak.

"Berdasarkan pengalaman, ambliopia boleh dipulihkan dengan rawatan yang dilakukan awal dan disarankan ibu bapa supaya membawa anak mereka untuk melakukan pemeriksaan mata setiap tahun.

"Ini kerana, semakin muda seseorang kanak-kanak itu, semakin mudah otaknya menyesuaikan diri dengan sebarang perubahan," katanya.

JIKA si kecil kerap terjatuh atau terlanggar objek, ia mungkin disebabkan oleh masalah mata malas. - FOTO Google
JIKA si kecil kerap terjatuh atau terlanggar objek, ia mungkin disebabkan oleh masalah mata malas. - FOTO Google

Dalam pada itu, Dr Fiona berkata, kanak-kanak disarankan untuk menjalani pemeriksaan mata ketika berusia enam bulan, tiga tahun, enam tahun dan seterusnya setiap dua tahun untuk mengenal pasti sebarang masalah mata.

Ini kerana, ambliopia akan menjadi semakin parah dan berkemungkinan tidak dapat dipulihkan jika ia tidak dirawat langsung.

"Kadang-kala penglihatan kanak-kanak akan menjadi teruk sehingga menyebabkannya menjadi buta.

"Apabila seorang kanak-kanak itu menghidapi ambliopia, penjajaran mata akan menjadi tidak selari dan matanya juga mungkin menjadi juling," tambah beliau.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Oktober 2022 @ 7:00 AM