HUBUNGAN rapat antara ibu bapa, zuriat memudahkan urusan membimbing serta menasihat.
HUBUNGAN rapat antara ibu bapa, zuriat memudahkan urusan membimbing serta menasihat.
Muhamaad Razis Ismail


DISIPLIN sering dikaitkan dengan hukuman dan interaksi yang negatif antara ibu bapa serta anak.

Ada dalam kalangan ibu bapa yang kurang gemar mendisiplinkan anak kerana menyangka mereka perlu bertindak keras dan kasar.

Malah ada juga ibu bapa menyangka tanpa bertindak kasar dan menghukum anak tidak akan menjadi insan yang baik.

Perunding keibubapaan, Noor Afidah Abu Bakar berkata, kanak-kanak bersifat impulsif iaitu hanya mengikut gerak hati dalam mengambil sesuatu tindakan.

"Mereka melakukan sesuatu tanpa berfikir kesan dan akibat perbuatan kerana otak mereka belum cukup berkembang untuk menilai sesuatu perbuatan. Situasi ini menyebabkan kadangkala kanak-kanak melakukan sesuatu perkara yang tidak betul pada kaca mata orang dewasa.

"Oleh itu, menjadi tanggungjawab ibu bapa atau orang dewasa untuk berada di sisi kanak-kanak membimbing dan melatih kanak-kanak untuk merenung perbuatan mereka kerana tidak berupaya untuk melakukannya sendiri," katanya.

Menurutnya, mendisiplinkan anak dari kecil adalah penting supaya mereka dapat mengatur diri sendiri dan memilih tindakan yang tidak membawa kemudaratan kepada diri, orang di sekeliling serta harta benda.

"Tindakan yang diambil perlu lebih cenderung ke arah mendidik, membimbing, menasihati dan melatih anak supaya mereka berada dalam lingkungan tingkah laku yang baik.

KANAK-kanak hanya mengikut gerak hati dalam mengambil sesuatu tindakan.
KANAK-kanak hanya mengikut gerak hati dalam mengambil sesuatu tindakan.

"Ia bukan bermaksud menghukum anak selepas mereka bertindak di luar lingkungan itu. Kaedah yang memalukan, meminggirkan anak, mewujudkan rasa tidak puas hati, berdendam, mewujudkan rasa tidak bernilai dalam diri anak hanya menutup bahagian otak yang berfungsi untuk berfikir dan belajar dari kesilapan perlu dielakkan," katanya.

Jelasnya, kaedah disiplin yang efektif mampu menyentuh hati anak dan menggalakkan perapatan hubungan antara ibu bapa dan anak.

"Ia boleh dimulakan dari peringkat usia awal dengan menetapkan rutin yang sesuai termasuk menetapkan waktu makan, tidur dan bermain dalam bentuk rutin harian supaya anak dapat menguruskan diri sendiri," katanya.

Dalam mendisiplinkan anak, ibu bapa perlu terlebih dahulu mengenal pasti apakah yang mendorong mereka (anak) bertindak di luar kawalan kerana setiap tingkah laku ada sebabnya.

"Sebelum mengambil apa-apa tindakan, punca tingkah laku ini perlu dikenal pasti dahulu kerana ia boleh berlaku disebabkan dari anak sendiri, ibu bapa dan oleh faktor luaran.

"Anak kecil akan bertindak di luar kawalan dan meragam sekiranya keperluan asas mereka tidak ditunaikan antaranya tidak cukup tidur, tidak cukup rehat, lapar, inginkan perhatian dan tenaga tidak dilepaskan dengan bermain.

"Oleh itu, kaedah mendisiplinkan anak yang paling efektif dalam situasi ini adalah mengenal pasti dan menyediakan keperluan asas ini," katanya.

Selain itu, anak melakukan perbuatan yang tidak menyenangkan disebabkan rasa marah, kecewa atau sedih.

TINDAKAN terlalu keras boleh memberi kesan terhadap perkembangan kanak-kanak.
TINDAKAN terlalu keras boleh memberi kesan terhadap perkembangan kanak-kanak.

"Perasaan anak perlu diakui terlebih dahulu sebelum berbincang dengan anak solusi kepada masalah yang timbul akibat dari perasaan itu.

"Ibu bapa perlu memberikan panduan yang menggalakkan anak belajar dari kesilapan dan memikirkan tingkah laku alternatif untuk mencapai sesuatu matlamat. Anak juga perlu dilatih untuk sama-sama memikirkan solusi apabila berada dalam sesuatu konflik dan bukan hanya bertindak melulu," katanya.

Katanya, setiap keluarga perlu mempunyai peraturan yang tersendiri yang bukan untuk menghukum, malah memastikan anak bertindak dalam batasan yang ditetapkan.

"Ibu bapa perlu teguh dan konsisten dengan peraturan ini.

"Sekiranya ibu bapa tidak teguh dan tegas, anak akan menganggap ibu bapa tidak serius dengan peraturan yang ditetapkan. Peraturan yang tidak jelas dan tidak konsisten hanya mengelirukan anak," katanya.

Tambahnya, sekiranya anak berkelakuan baik dan mengikut peraturan, akui kebaikan anak kerana ia akan menggalakkan lagi mereka untuk bertindak positif.

"Sekiranya anak tidak mengikut peraturan, tindakan yang dipersetujui perlu diambil dan tidak hanya mengugut tanpa melaksanakan," katanya.

TETAPKAN rutin di peringkat awal usia untuk menerapkan nilai disiplin dalam diri anak.
TETAPKAN rutin di peringkat awal usia untuk menerapkan nilai disiplin dalam diri anak.

Noor Afidah berkata, sesuai dengan peredaran zaman, masyarakat sudah dapat menerima bahawa disiplin tidak semestinya dicapai dengan hukuman keras semata-mata.

"Dengan mewujudkan hubungan yang rapat antara ibu bapa dan anak memudahkan urusan untuk membimbing dan menasihat anak.

"Anak juga akan menjadi lebih terbuka untuk menerima sebarang panduan dan bimbingan yang diberikan ibu bapa," katanya.

ANAK bertindak di luar kawalan dan meragam sekiranya keperluan asas mereka tidak ditunaikan.
ANAK bertindak di luar kawalan dan meragam sekiranya keperluan asas mereka tidak ditunaikan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Ogos 2022 @ 6:20 AM