MENDAKI gunung dan bukit antara kegiatan yang boleh menjadikan tubuh badan lebih sihat pada usia melebihi 50 tahun.
MENDAKI gunung dan bukit antara kegiatan yang boleh menjadikan tubuh badan lebih sihat pada usia melebihi 50 tahun.
Hafiz Ithnin

APABILA sudah memasuki usia 50 tahun mungkin ramai antara wanita di luar sana merasakan melakukan aktiviti bersenam sudah tidak menjadi keperluan kerana ia sudah memasuki fasa berehat dan tidak perlu lagi 'menyeksa' diri untuk berpeluh.

Bagaimanapun, sebenarnya aktiviti bersenam amat perlu bagi memastikan anda yang sudah berusia terus kekal cergas dan paling penting dapat mengelakkan daripada mendapat penyakit lain seperti serangan jantung.

Namun, pasti menjadi persoalan apakah jenis senaman yang sesuai apabila umur sudah menjengah ke separuh abad bukan?

Jurulatih kecergasan, Mohd Hoesni Rahmat berkata, sebenarnya aktiviti senaman untuk kecergasan tidak mempunyai had umur dan perlu sesuai mengikut kemampuan diri.

"Biasanya apabila mereka yang sudah melepasi usia 50 ini, merasakan tidak mahu lagi melakukan aktiviti senaman seperti pada waktu usia 30an misalnya rajin ke gimnasium. Bagaimanapun perlu diingatkan bahawa aktiviti senaman sebenarnya penting bagi memastikan keadaan diri dalam keadaan cergas dan sihat.

"Namun, diingatkan bahawa melakukan senaman atau aktiviti kecergasan untuk mereka yang sudah berusia perlu sesuai kerana khuatir ia boleh menjadi punca kepada masalah kesihatan lain seperti serangan jantung kerana mungkin individu itu melakukan aktiviti yang terlalu ekstrem dan badan tidak mampu melaksanakannya. Apatah lagi untuk mereka yang jarang melakukan senaman. Ia amat bahaya," katanya.

MENGANGKAT dumbel yang bersesuaian dengan kemampuan diri.
MENGANGKAT dumbel yang bersesuaian dengan kemampuan diri.

Hoesni berkata, antara senaman yang boleh dilakukan oleh mereka yang sudah berusia 50 tahun ke atas seperti melakukan aktiviti kardio antaranya berjalan pantas, berenang, berbasikal atau menerokai laluan denai.

"Aktiviti kardio seperti ini boleh dilakukan sekurang-kurangnya dalam tempoh 30 minit kerana ia bukan sahaja dapat menjadikan anda berpeluh malah dapat mengepam jantung dengan lebih baik.

"Bagi mereka yang sudah biasa dengan aktiviti kardio, kumpulan itu juga boleh melakukan aktiviti yang lebih lasak seperti mendaki gunung atau bukit. Namun, perlu diingatkan lakukan mengikut kemampuan diri," katanya.

Tambahnya, senaman kaki seperti squad dan lunges juga boleh dilakukan bagi menguatkan otot pada bahagian kaki khasnya kerana senaman itu akan memberi 'tekanan' kepada otot di bahagian itu untuk bekerja lebih keras.

"Lakukan aktiviti ini dengan lebih santai terlebih dahulu jika anda tidak pernah melakukan sebelum ini seperti squad dengan jumlah kiraan 12 dan tiga kali pusingan. Kemudian apabila sudah biasa anda boleh menambah jumlah pusingan atau menambah beban lain seperti memegang 'dumbbell'.

LATIHAN plank dapat membantu menguatkan otot badan.
LATIHAN plank dapat membantu menguatkan otot badan.

"Begitu juga dengan 'lunges' boleh lakukan secara setempat terlebih dahulu. Kemudian bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Jika sudah biasa boleh memegang bebanan ketika melakukan senaman itu," katanya.

Katanya lagi, mereka juga boleh melakukan senaman teras badan untuk otot perut, pinggang dan belakang pinggang kerana bahagian itu sering menjadi tumpuan dalam pergerakan.

"Antara senaman yang boleh dilakukan ialah 'plank' atau 'bridging'.

Tempoh masa untuk permulaan juga boleh dilakukan dengan 30 saat terlebih dahulu kemudian ditingkatkan kepada satu minit dan seterusnya.

"Perlu diingatkan jika anda sudah selesa melakukan sesuatu senaman, perlu diubah dari segi kekerapan dan menambah tempoh masa untuk memberi kesan yang lebih baik. Namun, jangan lakukan secara drastik bagi mengelakkan kecederaan," katanya.

AKTIVITI berjoging dapat menguatkan jantung.
AKTIVITI berjoging dapat menguatkan jantung.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2020 @ 6:45 AM