Muhamaad Razis Ismail

BERTUGAS di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) selama 14 tahun sebelum membuat keputusan untuk menjalankan perniagaan sendiri.

Berada lebih sedekad di agensi terbabit, Wan Rusmawati Wan Mohamed sepatutnya sudah boleh berbangga dengan pencapaiannya dengan memegang beberapa jawatan penting termasuk sebagai pegawai pemeriksa hak cipta.

Bagaimanapun, ibu enam anak ini membuat keputusan berundur dari MyIPO pada 2016 untuk menjadi konsultan cap dagangan sepenuh masa.

Beliau mempunyai alasan tersendiri berbuat demikian untuk membantu memberi kesedaran kepada usahawan yang baharu terbabit dalam bidang perniagaan berkenaan kepentingan cap dagangan.

Kini, selepas hampir empat tahun, beliau sudah membantu 300 syarikat termasuk industri kecil dan sederhana (IKS), korporat dan agensi kerajaan.

Beliau juga sering menjalankan program kesedaran melalui agensi kerajaan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) dan sebagainya.

Wan Rusmawati berkata, semuanya bermula selepas beliau mendapat panggilan telefon daripada usahawan wanita yang memaklumkan permohonan untuk mendapatkan cap dagangan perniagaannya ditolak MyIPO.

Katanya, wanita itu menangis kerana sudah membuat pelaburan lebih RM50,000 untuk pemasaran perniagaannya tanpa menyedari nama perniagaannya sudah didaftar dan digunakan individu lain.

PENGALAMAN bertugas dengan MyIPO banyak membantu menjadi konsultan cap dagangan.
PENGALAMAN bertugas dengan MyIPO banyak membantu menjadi konsultan cap dagangan.

"Lebih menyedihkan wanita berkenaan membuat pinjaman bank untuk buat pemasaran perniagaannya.

"Kemudian terdetik di hati, bahawa saya perlu lakukan sesuatu dengan pengalaman yang ada untuk membantu usahawan mengenai kepentingan cap dagangan dalam perniagaan mereka.

"Selepas itu, saya buat keputusan untuk berhenti dari MyIPO dan menjadikan perunding cap dagangan sebagai kerjaya baharu," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, ramai yang menjadi perunding cap dagangan ini terdiri dalam kalangan pengamal undang-undang.

"Hanya beberapa orang yang tiada latar belakang perundangan. Namun saya menggunakan pengalaman yang ada sepanjang bertugas di MyIPO untuk membantu usahawan," katanya.

Tambahnya, skop tugasnya adalah memastikan logo dan nama yang digunakan untuk sesebuah perniagaan itu boleh didaftarkan di MyIPO.

"Kami akan membantu pelanggan membuat carian di Internet. Sekiranya tidak boleh (logo dan nama) digunakan, saya akan beri khidmat nasihat dan membuat pindaan terhadap logo serta nama itu.

"Selain itu, pelanggan juga meminta saya membantu mendaftarkan logo dan nama di MyIPO," katanya.

Katanya, kebiasaannya, kegagalan mendapat kelulusan MyIPO berlaku apabila nama yang ingin didaftarkan merujuk kepada produk yang dijual.

"Antara syarat utama untuk mendaftar cap dagangan di MyIPO, nama produk tidak boleh merujuk secara langsung kepada produk dan selain tidak pernah digunakan sama ada di dalam mahupun di luar negara.

RAWATAN untuk ibu hamil sesuai ketika berada di trimester kedua.
RAWATAN untuk ibu hamil sesuai ketika berada di trimester kedua.

"Sebab itu pentingnya menggunakan khidmat perunding cap dagangan yang boleh membantu berdasarkan ilmu dan pengalaman yang dimiliki. Biasanya saya jalankan sesi sumbang saran selama tiga jam untuk dapatkan nama terbaik," katanya.

Ditanya cabaran menjadi perunding cap dagangan, ibu enam anak ini berkata, dia tidak bimbang dengan pesaing kerana yakin pengalaman dimilikinya.

"Cabaran utama adalah bagi meyakinkan pelanggan terutama usahawan yang sayangkan wang untuk melabur terhadap cap dagangan perniagaan.

"Apabila ada peniaga lain menggunakan nama dan logo sama, baru mereka mahu buat pendaftaran," katanya.

Mengulas lanjut, tahap kesedaran masyarakat terhadap kepentingan cap dagangan masih rendah.

"Mereka lebih utamakan pelaburan untuk pemasaran dan bagi mereka cap dagangan antara perkara terakhir yang akan dilakukan.

"Kepentingan memiliki cap dagangan ini sebenarnya nak elakkan daripada terkena tindakan sama. Bayangkan selepas enam tahun kita menggunakan nama itu dalam perniagaan, tiba-tiba diberitahu nama tidak boleh digunakan kerana sudah didaftarkan.

"Pada masa sama, dengan memiliki sijil cap dagangan ia turut membantu memberi keyakinan kepada pelanggan bahawa produk yang dikeluarkan adalah asli," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Ogos 2020 @ 7:00 AM