RUANG tamu yang selesa.
RUANG tamu yang selesa.
Nabil Basaruddin


JIKA anda pernah berdepan kekecewaan apabila permohonan pembiayaan ditolak pihak bank, bayangkan jika situasi itu berulang empat kali.

Kecewa dan hampir berputus asa, namun ia tidak sama sekali melemahkan semangatnya untuk terus berusaha memohon pembiayaan bagi memiliki kediaman sendiri.

Selepas meninjau pelbagai pilihan perkhidmatan perbankan untuk pembiayaan perumahan, Siti Norhawa Mohd Ali, 29, akhirnya berjaya mendapat kelulusan pembiayaan, namun pada jumlah yang tidak mencukupi.

Siti Norhawa berkata, memandangkan ketika itu dia belum berkahwin dan gaji sebagai graduan yang baru tamat belajar masih kecil, sukar untuknya melepasi syarat bank bagi mendapat pinjaman penuh.

Perkara berkenaan menyebabkan dia perlu meminjam sejumlah wang daripada ibu bapa untuk mencukupkan pembayaran penuh bagi pembelian terbabit.

“Walaupun banyak halangan untuk melunaskan isu kewangan, akhirnya saya boleh menarik nafas lega setelah semuanya selesai.

“Ketika saya membeli rumah itu, saya belum didedahkan ilmu hartanah jadi hanya membeli mengikut kemampuan dan lokasi yang dilihat bersesuaian.

“Bagi saya, sekiranya seseorang itu ada ilmu hartanah, proses ini akan menjadi lebih mudah dan efektif kerana komitmen pemilikan rumah ini adalah untuk jangka masa panjang,” katanya.

Ruang makan di kediaman Siti Norhawa.
Ruang makan di kediaman Siti Norhawa.

Sebagai eksekutif penyelidikan strategik di sebuah agensi, dia berpuas hati dengan kediaman pertama yang dimilikinya di Sky Awani Residence, Sentul Perdana, sebuah projek Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) pada harga RM300,000.

“Saya mula mendiami rumah ini pada Oktober 2018 dan kini sudah genap setahun menetap di rumah ini.

“Walaupun ia hanya sebuah rumah strata dengan keluasan 800 kaki persegi, saya sangat teruja ketika kali pertama menduduki rumah in.

“Ini impian saya sejak kecil untuk mempunyai rumah sendiri dan pada masa sama, sangat gemar menghias rumah dan dengannya, saya bebas memilih corak dan rekaan yang boleh disesuaikan dengan perabot,” katanya.

Mengulas lanjut, Siti Norhawa berkata, rumah adalah keperluan, berbeza dengan memiliki kereta yang dilihatnya sebagai kehendak.

“Rumah akan menjadi aset kita pada masa akan datang dan ia boleh mendatangkan pendapatan balik selepas beberapa tahun sekiranya dalam keadaan terdesak.

“Memandangkan ini rumah pertama, saya turut mempunyai perancangan membeli rumah untuk pelaburan.

“Namun, ia hanya boleh dilakukan sekiranya keadaan kewangan lebih stabil dalam masa lima hingga 10 tahun lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 November 2019 @ 10:55 AM