DUA unit penyimpanan terapung di RGTSU.
DUA unit penyimpanan terapung di RGTSU.
Nor 'Asyikin Mat Hayin


PETRONAS Gas Berhad (PGB) membina Terminal Regas Sungai Udang (RGTSU) Melaka untuk memproses cecair gas asli (LNG) kepada gas asli.

Gas asli itu kemudian diangkut menerusi saluran paip gas untuk disalurkan ke banyak lokasi bagi tujuan penjanaan tenaga elektrik ke premis perniagaan, kediaman dan sebagainya.

Baru-baru ini, penulis bersama lima rakan media daripada pelbagai agensi diberi peluang melawat RGTSU.

Tentunya penulis teruja dapat menyertai lawatan berkenaan memandangkan peluang seperti itu sangat jarang diperoleh.

Apatah lagi, ia kali pertama penulis menjejakkan kaki ke RGTSU dan memahami proses LNG ditukar kepada gas asli sebagai sumber bahan api utama bagi penjanaan tenaga elektrik.

Pengalaman ini sangat berharga dan tidak boleh dilupakan. Terima kasih Petronas!

RGTSU, Melaka daripada pandangan atas.
RGTSU, Melaka daripada pandangan atas.

Untuk ke RGTSU, media menaiki bot dari jeti yang mengambil masa selama 20 minit, membabitkan jarak perjalanan sejauh tiga kilometer (km).

Setibanya di platform RGTSU, media perlu mendaftar di pos keselamatan dan diberikan pas sementara sebagai kebenaran masuk.

Seterusnya media diberikan taklimat keselamatan, penghantaran gas dan regasifikasi juga pusat kawalan gas Petronas (PGCC) oleh Ketua Penghantaran dan Regasifikasi Gas (GTR) PGB, Burhan Abdullah serta Ketua Terminal Regas PGB (Sungai Udang), Mohd Isham Isa.

Untuk rekod, RGTSU mula beroperasi pada 2013 adalah binaan sepanjang satu kilometer.

Kemudahan RGTSU terdiri daripada enam platform utama untuk menyokong perkhidmatan memindahkan dan penyimpanan LNG.

RGTSU mempunyai dua unit penyimpanan terapung menggunakan kapal yang sudah dihentikan operasinya.

WAKIL media bersama kakitangan Petronas.
WAKIL media bersama kakitangan Petronas.

Unit penyimpanan terapung itu mempunyai kapasiti regasifikasi 500 juta kaki padu standard sehari (mmscfd). Selain itu, fasiliti ini juga mempunyai kemudahan untuk memuat naik LNG, penyejukan LNG dan memuatkan LNG ke lori untuk pengedaran.

Seterusnya ialah platform pengisian satu apabila bahagian ini menerima dan menyimpan LNG di dalam unit penyimpanan terapung satu. Pengangkut LNG akan melakukan aktiviti pengisian ke unit penyimpanan terapung untuk tempoh 36 jam.

Di platform ini terdapat juga unit regasifikasi yang fungsinya ialah menerima dan menukarkan LNG kepada gas jualan.

Dalam pada itu Burhan berkata, dijangka penggunaan LNG dari RGTSU lebih tinggi bermula 2026.

"Ini didorong faktor peralihan penggunaan kepada gas daripada arang batu untuk penjanaan kuasa.

"Pada masa ini, PGB mempunyai saluran paip keseluruhan sepanjang 2,623km untuk mengangkut gas jualan ke seluruh Semenanjung Malaysia," katanya.

PENULIS (tiga dari kiri) bersama lima wakil media melawat RGTSU.
PENULIS (tiga dari kiri) bersama lima wakil media melawat RGTSU.

Katanya, PGB mempunyai aspirasi menjadikan Malaysia sebagai hab gas serantau apabila kapasiti saluran paip mencukupi.

"Ketika itu, saluran paip dapat dihubungkan ke Singapura, Thailand dan seterusnya Vietnam bagi memindahkan gas ke negara berkenaan.

"Perkara paling penting ialah RGTSU, aset kritikal yang menjadi tulang belakang kepada keselamatan tenaga di negara ini dan memastikan bekalan elektrik di Malaysia tidak terputus," katanya.

Sementara itu, Mohd Isham berkata, purata penggunaan LNG di RGTSU pada masa ini adalah antara 10 hingga 15 peratus.

"Kita menjangkakan penggunaan gas di Malaysia akan meningkat ekoran perkembangan industri dan ekonomi negara ini.

"Ditambah pula kita sudah dua tahun menggunakan teknologi 5G di RGTSU yang boleh meningkatkan kecekapan operasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2024 @ 7:00 AM