Kakitangan PGB memeriksa saluran paip.
Kakitangan PGB memeriksa saluran paip.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Petronas Gas Bhd (PGB) memperuntukkan perbelanjaan modal yang sedikit tinggi iaitu RM1.4 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 berbanding RM1.2 bilion pada tahun kewangan 2021.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Abdul Aziz Othman berkata, PGB juga menjangkakan lebih banyak kerja penyelenggaraan dilakukan pada tahun kewangan 2022 memandangkan negara kini berada dalam fasa peralihan ke endemik.

"Kami juga menjangkakan lebih banyak kemajuan dicapai dalam projek pertumbuhan yang kami umum tahun lepas," katanya pada sidang media secara maya selepas mesyuarat agung tahunan PGB hari ini.

Beliau berkata PGB akan terus memanfaatkan peluang untuk menawarkan penyelesaian gas dengan cara bertanggungjawab dan mampan tahun ini di samping memajukan dan merealisasikan projek pertumbuhan yang telah dikenal pasti.

"Ini termasuk melaksanakan penyelesaian bersepadu untuk tenaga dan utiliti di zon perindustrian baharu di Malaysia, meningkatkan kapasiti regasifikasi dan penjanaan tenaga di Malaysia dan serantau, serta memanfaatkan peluang yang dicetuskan oleh peralihan tenaga," katanya.

Mengenai eksport gas asli cecair (LNG) oleh PGB, Abdul Aziz berkata terdapat keperluan untuk kapasiti penyimpanan yang lebih banyak susulan permintaan semakin meningkat terhadap LNG.

Beliau berkata buat masa ini, PGB memiliki dua tangki ISO di Pengerang, Johor.

"Sekiranya semua berjalan dengan baik, menjelang akhir tahun ini kami sewajarnya boleh mengatakan sama ada kami perlu teruskan dengan tangki ketiga," katanya.

Sementara itu, Pengerusi PGB, Adnan Zainal Abidin berkata cukai makmur yang dikenakan sekali sehaja oleh kerajaan tidak akan menjejaskan kemampuan syarikat untuk menyediakan pembayaran dividen.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 April 2022 @ 5:36 PM