TIGGO 9 dipamerkan di Pameran Automotif Antarabangsa Beijing ke-18 (Auto China) 2024 di Beijing.
TIGGO 9 dipamerkan di Pameran Automotif Antarabangsa Beijing ke-18 (Auto China) 2024 di Beijing.
Lizam Ridzuan


Beijing: Chery International melancarkan pengenalan global untuk model Tiggo 9 Kenderaan Elektrik Hibrid Plug-In (PHEV) dengan ciri kenderaan tenaga baharu (NEV) di Pameran Automotif Antarabangsa Beijing ke-18 (Auto China) 2024 di sini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zhu Shaodong berkata, model kenderaan utiliti sukan (SUV) itu yang pertama kali dilancarkan pada 2005, menawarkan dengan ciri rekaan konsep 'Conquer' dan 'Guard'.

"Selama lebih dua dekad sejak Tiggo NCV diperkenalkan dalam pasaran, ia bukan sahaja dikenali sebagai SUV dengan kualiti, prestasi dan rekaan yang bergaya, malah kini dengan ciri termaju serta ciri mesra alam," katanya ketika pelancaran di sini, semalam.

Model itu sebagai varian tertinggi untuk model Tiggo 9 adalah visi dan inovasi jenama berkenaan, dengan sentuhan rekaan lebih segar dan ciri teknologi termaju.

Ruang kabinnya memiliki sistem infotainmen 15.6 inci berdefinisi tinggi dan kerusi yang diberi jahitan 3D, sekali gus menawarkan gaya premium.

Selain itu, ciri lain ia dengan enjin 2.0 turbo menawarkan kuasa 235 kuasa kuda (Hp) dan tork 385Nm dengan sistem PHEV super hibrid 3DHT, menjana kuasa maksimum 165kW untuk capaian bahan api sekitar 5.2 liter untuk setiap 100 kilometer (km) yang mampu mencapai sehingga 1,400 km dengan setiap satu tangki penuh.

"Model Tiggo 9 PHEV bakal dilancarkan pada suku keempat tahun ini untuk pasaran global, seiring dengan model pembakaran dalaman (ICE). Ia bakal menjadi era baharu dalam pasaran SUV premium dengan berteraskan kemajuan dalam teknologi," katanya.

Pameran Automotif Antarabangsa Beijing ke-18 (Auto China) berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa China (Shunyi) dari 25 April sehingga 4 Mei 2024.

Bertemakan 'New Era, New Cars', ia membabitkan pameran berkaitan mobiliti masa depan, keterhubungan kenderaan, kenderaan tenaga baharu, unit kawalan kuasa, komponen dan alat ganti automotif.

Ia mempamerkan 278 kenderaan tenaga baharu dengan lebih 117 pelancaran model global.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2024 @ 2:32 PM