MASIDI MANJUN
MASIDI MANJUN
Olivia Miwil


Kota Kinabalu: Sabah membenarkan pergerakan merentas daerah mengikut enam zon ditetapkan, bermula Jumaat ini.

Jurucakap Covid-19 negeri, Datuk Masidi Manjun berkata, keputusan itu dibuat selepas menerima permintaan daripada banyak pihak terutama sektor pelancongan yang kini dibenarkan beroperasi.

Semalam, kerajaan mengumumkan melarang pergerakan rentas daerah berikutan risiko penularan wabak, meskipun Sabah diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berkuat kuasa Jumaat (5 Mac).

"Selepas mempertimbangkan banyak perkara termasuk, ada juga penduduk yang bekerja di daerah lain dari tempat mereka, maka pengelasan zon ini akan membolehkan penduduk merentas daerah tanpa perlu melalui sekatan jalan raya.

"Bagaimanapun, Nabawan tidak tersenarai dalam mana-mana zon kerana daerah itu masih di bawah Perintah Kawalan Pergerakan," katanya yang memberitahu rakyat kini boleh melakukan pergerakan dalam zon ditetapkan.

Zon 1 membabitkan Kota Kinabalu, Kota Belud, Ranau, Tuaran, Penampang, Putatan dan Papar manakala, Zon 2 - Beaufort, Kuala Penyu dan Sipitang.

Zon 3 merangkumi kawasan Kudat, Kota Marudu dan Pitas; Zon 4 - Sandakan, Beluran, Kinabatangan dan Tongod; Zon 5 - Tawau, Semporna, Lahad Datu, Kunak dan Kalabakan; sementara, Zon 6 adalah Keningau, Tambunan dan Tenom.

Bagi syarikat pelancongan yang berkehendakkan aktiviti gelembung perjalanan, Masidi berkata, pertimbangan akan dibuat mengikut kes yang mana mereka perlu mengemukakan permohonan dan justifikasi prosedur operasi standard (SOP) kepada kerajaan negeri.

Katanya, ketika ini hanya Sutera Harbour Resorts yang sudah memohon dan dibenarkan untuk menawarkan aktiviti bagi gelembung perjalanan antara Kota Kinabalu dan Kota Belud mulai Jumaat.

Kerajaan negeri juga membenarkan majlis rasmi dan tidak rasmi dengan kehadiran 50 peratus daripada kapasiti fasiliti diadakan namun tertakluk SOP mencegah Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mac 2021 @ 9:00 PM