MUHAMMAD Azraai (tiga dari kiri) bersama ahli keluarganya di Cup Prix, Stadium Hang Jebat, Melaka.
MUHAMMAD Azraai (tiga dari kiri) bersama ahli keluarganya di Cup Prix, Stadium Hang Jebat, Melaka.

FATIN FARHANA JAPRE berkongsi kisah seorang anak muda yang berjaya memperkenalkan topi keledar dengan rekaan grafik luar biasanya di Malaysia.

Selaras dengan cita rasa dan trend belia yang sentiasa berubah, Muhammad Azraai Shamsudin, 23, tampil menghasilkan topi keledar yang pelbagai corak, hiasan dan rekaan grafik terkini mengikut kehendak penggemar topi keledar.

Pada usia 18 tahun, Muhammad Azraai Shamsudin yang sememangnya sukakan seni lukisan mula berjinak-jinak menghasilkan topi keledar dengan pelbagai corak mengikut permintaan rakannya.

Baginya, ia sekadar mengisi masa lapangnya yang ketika itu masih menuntut di sebuah universiti awam.

Namun, apabila tamat pengajian, dia mendapat galakan daripada ahli keluarga untuk membuka perniagaan sendiri memandangkan belum mendapat pekerjaan sesuai dengan kelulusannya.

Dengan bantuan modal daripada keluarga sebanyak RM40,000, Muhammad Azraai Shamsudin memulakan perniagaan dengan nama D’ Ara Garage di Muar, Johor.

Adat perniagaan ada masa untung ada masa rugi, lima bulan awal perniagaannya tidak mendapat sambutan dan dia hampir berputus asa.

Bagaimanapun, atas bantuan rakan dan keluarga dengan promosi mulut ke mulut akhirnya produknya mendapat permintaan tinggi dari seluruh negeri.

Menurutnya, setakat ini sebanyak 120 rekaan dihasilkan untuk pelanggannya seperti corak bunga dan tengkorak.

“Sudah menjadi trend masa kini nilai corak grafik topi keledar yang ‘rare’ akan melambung nilainya. Kami cuba memenuhi kehendak penggemar topi keledar ‘rare’ dengan menghasilkan rekaan grafik dan corak mengikut cita rasa mereka.

“Kami menggunakan teknik ‘airbrush’ untuk menjaga kualiti dan kepuasan pelanggan. Satu topi keledar mengambil masa tiga minggu hingga sebulan untuk disiapkan kerana kami perlu buat dengan teliti sebelum sampai KE tangan pelanggan.

“Pada harga serendah RM80 hingga RM200, penggemar topi keledar ‘rare’ boleh mendapatkan variasi keluaran D’ Ara Garage secara atas talian di Facebook (D Ara Garage) atau di premis kami. Namun untuk topi keledar bertutup penuh dan ingin direka grafiknya sama seperti topi keledar original berjenama Arai, kami menetapkan harga sekitar RM2,000.

“Ini kerana kami perlu membuang warna asal dan membaiki semula kerosakan pada topi keledar itu sebelum diwarnakan dengan teknik ‘airbrush’. Pelanggan juga memberi maklum balas yang positif dengan hasil seni tangan kami,” kata lepasan graduan Diploma Seni Lukis Seni Reka Universiti Teknologi MARA Seri Iskandar, Perak itu.

Bagi Muhammad Azraai, dia lebih suka jika pelanggannya memilih atau mereka corak grafik mereka sendiri berbanding meniru corak grafik yang sedia ada pada topi keledar jenama terkenal di pasaran. Dia juga bercadang membuat bengkel bagi mencari belia mempunyai bakat melukis dan mewarna ‘airbrush’ untuk membantu mereka dalam bidang ini dan mengetengahkan hasil karya dan seni anak tempatan. Ini kerana di Malaysia ramai pereka yang berbakat, namun tidak diasah bakatnya.

Kini anak muda ini mampu menggaji pekerja seramai tiga orang untuk membantunya di bengkel dan mampu menjana pendapatan RM7,000 sebulan. Penulis turut bangga dengan kejayaannya yang mampu berdiri di atas kaki sendiri pada usia semuda ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2015 @ 10:00 AM