MUDAH dikendalikan serta lincah.
MUDAH dikendalikan serta lincah.
Lizam Ridzuan


SEKALI pandang, ia mirip Yamaha YZF-R1 iaitu motosikal sportsbike dengan ciri prestasi jentera perlumbaan yang sah jalanan untuk jenama itu.

Namun, jika diperhatikan dengan lebih terperinci, ia adalah Yamaha YZF-R15M iaitu model replika yang diinspirasikan daripada jentera R1.

Ia mula ditawarkan untuk pasaran Malaysia pada pertengahan 2022 dan Vroom berkesempatan menunggang ujinya baru-baru ini.

Meskipun kuasa enjin jauh berbeza, ia diserlahkan dengan rekaan yang dinamik, namun pada harga jauh lebih berpatutan.

Ia menjadi tarikan utama untuk pilihan pembeli jentera sportbike fairing penuh ringan ini.

Dengan rekaan fairing perak, hitam dan biru serta rekaan lampu hadapan LED dwifungsi dan lampu posisi menjadikan model ini lebih 'garang' untuk menerjah jalanan.

Walaupun mirip dengan model R15 standard, namun terdapat beberapa kemasan yang membezakannya iaitu kemasan tangki, fork hadapan terbalik (USD) jenama KYB warna emas, tiga 'clamp' gaya YZR-M1, panel meter digital gaya YZF-R1 dan pelana corak gentian karbon.

Sebagai varian tertinggi, R15M juga didatangkan dengan ciri penukar gear pantas (quick Shifter), Kawalan Cengkaman (TRC), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran serta suis mematikan enjin ciri motosikal berkuasa tinggi.

Ia juga hadir dengan klac Assist dan Slipper, lengan ayun aluminium serta meter digital LCD dengan keterhubungan aplikasi Yamaha Connect.

TAYAR belakang lebih lebar.
TAYAR belakang lebih lebar.

Untuk kuasa, model ini dijana enjin 155cc, sejukan cecair, SOHC, 4 injap VVA silinder tunggal. Ia menjana 19 kuasa kuda (hp) pada 10,000 rpm dan tork 14.7Nm pada 8,500 rpm.

VVA pula mengatur injap pada enjin untuk kuasa dan prestasi lebih cekap.

Paling utama, ia juga membantu untuk penjimatan bahan api berdasarkan kelajuan motosikal.

Menerusi transmisi 6 kelajuan serta ciri bantuan klac, ia menjadikan pertukaran gear lebih pantas, terutama jika menukar lorong untuk memintas.

Penulis juga memerah pendikit di lebuh raya dan ia mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 145 kilometer/sejam (km/j) serta tenaga yang dihemburkan juga responsif jika berada dalam bandar.

METER digital LCD.
METER digital LCD.

TRIPLE clamp ciri sportsbike.
TRIPLE clamp ciri sportsbike.

Untuk disesuaikan dengan gaya tunggangan dua mod, penunggang boleh memilih Street dan Track yang boleh merakam masa setiap pusingan dilakukan.

Casis Deltabox menjadikan kedudukan penulis lebih dinamik ketika menunggang serta sangat ideal terutama ketika melayari laluan selekoh tajam atau panjang.

Tayar belakang lebih lebar menjadikan ia lebih stabil dan selesa untuk pelbagai perjalanan. Tambah yakin untuk menunggang ketika laluan basah.

Dengan berat motosikal sekitar 137 kilogram, penulis mudah untuk mengendalikannya malah ia juga lincah untuk mencelah dalam kesesakan jalan raya.

BUTANG pemati enjin, maklumat meter dan lampu kecemasan.
BUTANG pemati enjin, maklumat meter dan lampu kecemasan.

Secara keseluruhannya, model YZF-R15M ini menawarkan gaya dan ciri prestasi untuk enjin 155cc, sesuai buat mereka yang gemarkan gaya sporty.

Selain mudah dikendalikan serta ciri komponen prestasi sebagai ciri standard, ia menjadikan motosikal ini sesuai buat penunggang baharu.

Selain itu, tongkat sisi dengan suis pemati enjin adalah elemen keselamatan yang memastikan enjin tidak dapat dihidupkan selagi ia tidak dinaikkan.

PELANA corak gentian karbon.
PELANA corak gentian karbon.

Ciri lain, ia datang dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua hala dan Sistem Kawalan Cengkaman (TCS).

Ia juga adalah model kedua selepas YZR-M1 yang mendapat sentuhan M dan perlu ada dalam senarai untuk dimiliki peminat motosikal sebegini.

Satu tangki penuh 11 liter membolehkan ia menjelajah sehingga 200 kilometer (km).

Antara kelebihan ditawarkan, sebagai pemilik model ini, pemiliknya secara automatik menjadi ahli program keahlian M-CRU.

Ia membolehkan pemiliknya menyertai pelbagai aktiviti menarik termasuk hari litar, kelas kemahiran menunggang, konvoi ke MotoGP dan barangan cenderahati istimewa.

Model ini menawarkan dua warna iaitu Signature M (seperti unit pandu uji ini) dan Monster Energy Edition yang dijual pada harga RM14,998.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 April 2023 @ 6:12 AM