GAYA cruiser Modenas Vulcan S.
GAYA cruiser Modenas Vulcan S.
Lizam Ridzuan


KEPERLUAN memiliki motosikal kini bukan sekadar untuk mencari rezeki, malah ramai menggunakannya bagi tujuan hobi dan aktiviti hujung minggu.

Pelbagai jenis motosikal ditawar untuk pasaran tempatan pada suku pertama tahun ini dan dijangka lebih banyak model menarik bakal ditawarkan sepanjang tahun.

Antara yang terbaharu ialah jentera sport cruiser Modenas Vulcan S 2023.

Secara asasnya, ia sama dengan model Kawasaki Vulcan S yang dijenamakan semula untuk Modenas sebagai kerjasama strategik kedua-dua entiti ini.

Vulcan S dijana enjin 649cc, 4-lejang, 2-silinder sebaris (DOHC) dan sistem pembakaran elektronik (EFI).

Enjin ini mampu menghasilkan 61 kuasa kuda pada 7,500 rpm dan tork 63 Nm pada 6,600 rpm.

Tidak seperti model lain, Vulcan S dilengkapi sistem 'Ergo Fit' menerusi bar pemegang, tempat duduk dan tempat letak kaki dengan tiga kedudukan berbeza, sekali gus menjadikan motosikal sesuai untuk semua saiz penunggang.

Dengan roda hadapan 18 inci dan roda belakang 17 inci serta pusat graviti rendah, ia membolehkan penunggangmengambil selekoh dengan yakin dan mudah.

Bagi lampu hadapan, ia hadir dengan rekaan segi tiga terbalik. Ia juga lengkap dengan meter analog dan digital LCD pelbagai fungsi menggunakan lampu LED biru, seterusnya membantu penunggang melihat meter dengan lebih baik pada waktu malam.

Motosikal dengan berat 229 kilogram ini dilengkapi tangki bahan api 14 liter dan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS).

WMOTO Bobbie VII.
WMOTO Bobbie VII.

Untuk pasaran Malaysia, Modenas Vulcan S datang dengan dua pilihan warna iaitu hitam Metalik Flat Spark dan hijau Pearl Matte Sage, dijual pada harga RM36,500 serta RM37,200.

Manakala Boon Siew Honda juga memperkenal skuter Honda Vario 125 Serba Baharu mampu milik.

Ia didatangkan dengan enjin 124.9cc, 4 lejang sejukan cecair dengan eSP dengan ciri Sistem Berhenti Melahu (ISS).

Sistem ini membantu kecekapan penggunaan bahan api.

Ciri lain, Sistem Kunci Pintar Honda, lampu LED, panel meter digital, corak grafik bergaya, pengecas USB dan ruang simpanan bawah tempat duduk 18 liter.

Honda Vario 125 menawarkan pilihan warna kuning, biru dan merah dijual pada harga RM7,080.

WMoto Bobbie VII pula diperkenal dengan gaya cruiser klasik.

Ia dijana enjin 693cc, dua silinder, 4 lejang yang mampu menjana kuasa 74 kuasa kuda (hp) dan tork 64Nm.

Ciri-ciri lain, lampu bulat LED, meter digital, sistem brek anti-kunci (ABS) dua saluran, pengecas USB dan tangki bahan api 15 liter.

ROYAL Enfield Hunter 350.
ROYAL Enfield Hunter 350.

Melalui pilihan warna hitam matte dan metalik, WMoto Bobbie VII dijual pada harga RM35,888.

Tidak terkecuali buat jenama Royal Enfield menawarkan model Hunter 350 untuk gaya tunggangan roadster moden klasik.

Hunter 350 dijana enjin 350cc sejukan udara dan minyak, SOHC, silinder tunggal yang mampu menjana 20.3 kuasa kuda dan tork 27Nm.

Ciri lain, meter gabungan digital dan analog, kotak gear lima kelajuan, sistem brek anti-kunci (ABS) dua saluran dan tangki bahan api 13 liter.

Hunter 350 ditawarkan menerusi dua varian iaitu Metro Rebel dan Metro Dapper dengan perbezaan pada corak serta warna tangki bahan api.

Untuk pasaran Malaysia, Hunter 350 dijual pada harga RM22,000 (Dapper) dan RM22,200 (Rebel).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mac 2023 @ 6:22 AM