MODEL Continental GT 650.
MODEL Continental GT 650.
Lizam Ridzuan

Motosikal dengan rekaan gaya klasik dan enjin tahan lasak, Royal Enfield, memperkenalkan dua model baharu iaitu Continental GT 650 dan Royal Interceptor 650.

Diperkenalkan pengedar utamanya di Malaysia iaitu RE Motorcycles Sdn Bhd.

Inspirasi daripada model klasik Cafe Racer, British Continental 650, ia jelmaan moden ikon budaya gaya perlumbaan sekitar 1950-an dan 1960-an dengan ciri-ciri prestasi.

Kedua-dua model ini dikuasakan dengan enjin dua silinder selari menjana kuasa 47 Hp pada 7,250 rpm dan tork maksimum 52 Nm pada 5,250 rpm.

ROYAL ENFIELD Interceptor 650.
ROYAL ENFIELD Interceptor 650.

Prestasi enjin 648cc SOHC itu dihasilkan dengan satu injap 270 darjah menghasilkan pembakaran untuk penghantaran kuasa penuh dengan karakter terutama pada bunyi ekzos serta kombinasi ‘counter-balancer’ yang mengurangkan gegaran.

Meskipun gaya klasik, namun ia dipadankan dengan elemen ciri terkini seperti suntikan bahan api dan sistem Brek Anti-Kunci (ABS).

Ciri jelajah berkapasiti bahan api 13.70 liter serta posisi menunggang santai pada pelana 804 milimeter (mm) dengan jentera seberat 202 kilogram (kg).

Untuk pasaran Malaysia, Royal Enfield Interceptor 650 dijual pada harga RM44,800 hingga RM46,400 manakala Continental GT 650 berharga RM46,900 hingga 48,500.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2019 @ 7:00 AM