BMW X2 sDrive 20i M Sport FOTO Mohd Yusni Ariffin
BMW X2 sDrive 20i M Sport FOTO Mohd Yusni Ariffin
Mohd Razlan Salleh

KEBELAKANGAN ini memang banyak pengeluar automotif dunia melancarkan jentera mereka yang bukan berasaskan sedan.

Kategori seperti kenderaan utiliti sukan (SUV), Crossover, SUV Coupe, kompak SUV dan sebagainya memberi gambaran jentera berkenaan lebih besar, tinggi dan lasak.

Berbanding sedan, SUV kelihatan lebih bergaya, maskulin dan menepati selera masyarakat dunia ketika ini.

Tidak terkecuali BMW Group Malaysia turut membawa masuk model Siri X mereka yang memiliki DNA sebuah SUV.

Antara model X2 dikenali sebagai Sport Activitiy Coupes (SAC) memberi persepsi baharu terhadap kenderaan beroda besar ini tetapi dengan gaya pemanduan seperti sedan.

Peluang penulis memandu uji BMW X2 sDrive20i M Sport sudah cukup memberikan makna sebenar SAC dari kaca mata BMW.

Model ini disasarkan untuk golongan muda yang mahukan sebuah SUV tetapi masih mahu menikmati keseronokan memandu seperti sedan.

Walaupun boleh dikategorikan sebagai kenderaan untuk pelbagai permukaan jalan raya kerana tubuhnya yang tinggi, X2 masih mampu memecut di lebuh raya.

Enjin berkuasa

ENJIN TwinPower Turbo berkuasa. FOTO Mohd Yusni Ariffin
ENJIN TwinPower Turbo berkuasa. FOTO Mohd Yusni Ariffin

Jentera SAC mempunyai prestasi memberangsangkan hasil daripada enjin TwinPower Turbo dan teknologi powertrain yang canggih selain dibantu keteguhan casis untuk meningkatkan pengendalian, ketangkasan serta tindak balas.

BMW X2 dikuasakan enjin petrol 2.0L empat silinder dengan teknologi TwinPower Turbo menggabungkan twin-scroll turbocaj dengan Valvetronic, dua VANOS dan High Precision Injection di samping padanan transmisi tujuh kelajuan dwi klac Steptronic Sport.

Nadi kuasa ini membekalkan 192 kuasa kuda (hp), manakala tork sekitar 280Nm yang membolehkannya mencapai kelajuan maksimum 227 kilometer sejam (km/j), selain memecut dari kedudukan pegun sehingga 100km/j dalam masa 7.7 saat.

Ciri luaran

‘KIDNEY Grill’ yang lebih besar. FOTO Mohd Yusni Ariffin
‘KIDNEY Grill’ yang lebih besar. FOTO Mohd Yusni Ariffin

Reka bentuknya yang garang jelas terserlah melalui garis kontur badan termasuk ketinggian yang sesuai untuk jalan raya biasa atau lebuh raya.

Ciri seakan coupe boleh dilihat melalui bentuk bumbung dan bingkai tingkap yang langsing.

Bahagian hadapan terserlah komponen sinonim BMW iaitu gril kidney X2 memiliki bentuk gril lebih lebar pada bahagian bawah, memberikan penampilan lebih berbeza dan sporty.

Di bawah gril, permukaan heksagon pada bampar menonjolkan lagi penampilan jentera, manakala jeriji gril disalut glos hitam yang dikontraskan bersama warna krom di sekelilingnya.

Reka bentuk lampu hadapan lebih tirus dengan teknologi LED menawarkan fungsi pencahayaan untuk pemanduan siang termasuk lampu kabus LED.

Corengan glos di permukaan dan emblem BMW pada C-Pillars menjadikan X2 sebuah jentera premium sports.

Bahagian sisi dihiasi pakej BMW M Aerodynamics dengan trim tayar dan salutan pewarna pelindung pada permukaan semua pintu selain spoiler belakang dan sistem suspensi BMW M Sport Suspension bersama rim bersaiz 19 inci.

Perumah lampu belakang yang tinggi menawarkan daya penglihatan lebih baik untuk pengguna jalan raya lain dan padanan ekzos berkembar di bahagian bawah.

Ruang dalaman

SUSUNAN kokpit kemas. FOTO Mohd Yusni Ariffin
SUSUNAN kokpit kemas. FOTO Mohd Yusni Ariffin

Ruangan dalaman BMW X2 sarat dengan pencahayaan LED ambien dalam variasi pilihan warna seperti jingga, lilac, mint, biru, putih dan gangsa.

Elemen mewah BMW seperti penumpuan pemanduan, garisan dinamik dan kelasakan siri X masih diterapkan bermula daripada stereng dengan butang pelbagai fungsi, papan pemuka yang kemas dan teratur serta balutan kerusi kulit premium.

Pendingin hawa automatik, tempat duduk boleh laras dan sistem hiburan menjadi pengalaman kelas

pertama dengan BMW Head-Up Display berwarna yang memaparkan maklumat berkait kepada pemandu.

Selain sambungan peranti USB, X2 juga tersedia dengan ciri Sambungan Telefon Pintar Lanjutan yang membolehkan melalui Bluetooth ke paparan sentuh 8.8 inci.

But kenderaan berkapasiti 470 liter mampu menampung kapasiti lebih besar sehingga 1,355 liter apabila kerusi belakang dilipat sepenuhnya.

Pemanduan dinamik

 RIM 19 inci serlah ciri sporty. FOTO Mohd Yusni Ariffin
RIM 19 inci serlah ciri sporty. FOTO Mohd Yusni Ariffin

Oleh kerana jentera ini berkuasa turbo berkembar, tiada sebarang kekurangan kuasa dirasai sama ada ketika memecut atau mendaki bukit.

Respons pemanduan kereta ini juga boleh disesuaikan dengan hanya menekan butang suis yang membolehkan pemandu memilih mod seperti COMFORT, peningkatan kecekapan ECO PRO dan SPORT.

Performance Control membolehkan pengawalan enjin dan intervensi brek ketika membelok membantu pemandu mengawal kenderaan dengan lebih baik.

Bukan saja untuk prestasi, praktikaliti jentera turut diambil kira apabila seleksi sistem Driver Assistance dan fungsi Park Assistant membantu pemandu memarkir secara selari.

Park Distance Control dan kamera pandang belakang memudahkan pengendalian lebih tepat dan selesa.

Kesimpulannya, BMW X2 sDrive 20i M Sport adalah jentera SAC premium kompak yang menjanjikan pengalaman pemanduan dinamik yang berciri sport.

Dijual pada harga RM320,800 (tanpa insurans), empat warna baharu ditawarkan iaitu Galvanic Gold, Misano Blue, Sunset Orange dan Black Sapphire.

Spesifikasi BMW X2 sDrive 20i M Sport

  • Enjin: Empat silinder 2.0L BMW TwinPower Turbo Valvetronic TwinVANOS
  • Transmisi: Dwi klac Steptronic Sport 7 kelajuan.
  • Kuasa maksimum: 192hp @ 5,000-6,000 rpm
  • Tork maksimum: 280Nm @ 1,350-4,600 rpm.
  • Harga: RM320,800 (tanpa insurans)
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 January 2019 @ 7:54 PM