LEXUS RX300 Special Edition serba mewah.
LEXUS RX300 Special Edition serba mewah.
Mohd Razlan Salleh

Selepas sekian lama menyepi, pengimport dan pengedar eksklusif kenderaan jenama Lexus Malaysia, UMW Toyota Motor, memperkenalkan kenderaan utiliti sukan (SUV) RX300 Special Edition yang lebih mengancam.

Varian ketujuh ini berkongsi platform dengan model RX300 Luxury tetapi dengan beberapa pembaharuan bagi meningkatkan ketrampilannya.

KABIN serba premium.
KABIN serba premium.

SUV mewah ini digerakkan enjin petrol 2.0L empat silinder pengecas turbo yang mampu menjana kuasa 235 PS dan daya kilas maksimum 350 Nm.

Nadi berkuasa ini dipadankan bersama transmisi automatik enam kelajuan ECT pacuan semua roda.

Antaranya bahagian hadapan dengan panel bawah badan tambahan yang memberi perlindungan daripada objek asing di jalan raya seperti batu manakala skirting sisi menampilkan gaya lebih sporty.

PANEL bawah melindungi objek asing daripada merosakkan permukaan kenderaan.
PANEL bawah melindungi objek asing daripada merosakkan permukaan kenderaan.

Aksesori ‘running board’ di bawah pintu hadapan dan belakang pula memudahkan kanak-kanak atau orang tua melangkah masuk dan keluar kenderaan.

Visor rekaan khas dipasang pada tingkap bagi mengekalkan daya aerodinamik kenderaan ketika tingkap dibuka sedikit selain mengelak kemasukan air hujan ke ruang kabin.

Untuk ruangan kargo, pelindung khas bertindak mengelakkan bahagian berkenaan tercalar apabila memuat atau mengeluarkan barangan.

PELINDUNG khas pada ruang pintu kargo.
PELINDUNG khas pada ruang pintu kargo.

Model ini juga didatangkan dengan ‘welcome light’ di bawah pintu dengan pancaran lampu menerangi kawasan berhampiran selain logo Lexus terpampang di permukaan tanah.

Dua aksesori lain ialah Modul Smart Tag Touch ‘N Go dan Perakam Video Digital (DVR).

Peranti khas ini membolehkan kad pintar Touch ‘N Go digunakan pada slot yang berfungsi seakan peranti Smart Tag untuk melalui jalan raya bertol.

DVR sebagai langkah berjaga-jaga sewaktu pemanduan.
DVR sebagai langkah berjaga-jaga sewaktu pemanduan.

Semua aksesori untuk model RX300 Special Edition ini memenuhi standard dan kualiti tinggi dipasang kakitangan Lexus terlatih dan profesional di Pusat Aksesori UMW Toyota di Bukit Raja, Selangor.

Lexus RX300 Special Edition dijual pada harga RM434,000 (tanpa insurans) dengan jaminan pengeluar selama lima tahun tanpa had perbatuan.

Khidmat sokongan selepas jualan lengkap boleh didapati di tujuh lokasi di Malaysia termasuk di Kuching, Sarawak.

SLOT khas berfungsi seperti peranti Smart Tag.
SLOT khas berfungsi seperti peranti Smart Tag.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Oktober 2018 @ 12:00 AM