TANGKAP layar keadaan Dora yang kelihatan seperti menunggu kepulangan penjaganya dari kampung ketika Aidilfitri. FOTO IHSAN KAMARUL AZIM KAMARUZAMAN
TANGKAP layar keadaan Dora yang kelihatan seperti menunggu kepulangan penjaganya dari kampung ketika Aidilfitri. FOTO IHSAN KAMARUL AZIM KAMARUZAMAN
Redzuan Muharam

Putrajaya: Biarpun Dora cuma seekor kucing namun kesetiaannya menanti kepulangan penjaga menyentuh hati ramai warganet selepas kisahnya tular di laman sosial baru-baru ini.

Dora mendapat perhatian selepas penjaganya, Kamarul Azim Kamaruzaman, 31, berkongsi gambar haiwan peliharaannya itu berdiri di depan pintu rumah seolah menanti kepulangannya.

Aksi Dora itu dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang sewaktu Kamarul Azim dan isteri, Noor Asmida Asmadi, 31, pulang beraya awal Aidilfitri lalu.

Berkongsi kisah sebenar, Kamarul Azim berkata, Dora adalah kucing betina yang dipeliharanya sejak empat tahun lalu.

Lantaran itu, Kamarul Azim dan isteri menyayangi Dora dengan lazimnya akan membawa bersama setiap kali berjalan atau pulang ke kampung.

"Kampung halaman saya Johor Bahru dan dalam sebulan, dua kali juga akan balik ke sana serta bawa Dora bersama.

"Cuma tahun ini, saya tak dapat cuti raya awal dan hanya dapat pulang ke Johor Bahru pada raya kedua tempoh hari.

"Mengenangkan kesesakan jalan raya dan keadaan Dora yang takut dengar bunyi lori serta akan duduk lama dalam kenderaan, saya tinggalkannya di rumah walaupun Dora pandai saja bawa diri serta tak kencing atau buang najis merata.

"Bukan tak nak hantarnya ke hotel kucing malah itu yang saya lakukan sebelum ini tapi nanti Dora tak makan kemudian tertekan sampai bulunya gugur dan badan jadi kurus," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

(Kiri) Tangkap layar keadaan Dora ketika ditinggalkan. (Kanan) Kamarul Azim bersama isterinya Noor Asmida bersama Dora. FOTO Ihsan Kamarul Azim Kamaruzaman.
(Kiri) Tangkap layar keadaan Dora ketika ditinggalkan. (Kanan) Kamarul Azim bersama isterinya Noor Asmida bersama Dora. FOTO Ihsan Kamarul Azim Kamaruzaman.

Menurut Kamarul Azim, berat hatinya untuk meninggalkan Dora sendirian namun terpaksa mengenangkan perancangan pulang menyambut Aidilfitri bersama keluarga.

Jadi sebagai persediaan, Kamarul Azim menyediakan makanan dan minuman secukupnya buat Dora selain membeli CCTV bagi memantau keadaan kucing kesayangannya itu.

"Saya pulang tak lama, iaitu daripada raya kedua dan pulang ke rumah malam raya keempat.

"Tapi disebabkan nak tinggalkan, saya sanggup beli CCTV semata-mata untuk mudahkan saya dan isteri pantau Dora.

"Tapi belum sampai lagi di destinasi, isteri saya sudah menangis waktu tengok dora melalui rakaman CCTV dan saya pun sedih juga.

"Boleh dikatakan, hampir setiap masa kami tengok rakaman CCTV untuk pantau Dora dan nampak Dora tak makan sangat kerana sebelum ini makan bersuap walaupun sudah letakkan makanan dalam mangkuk," katanya.

Paling menyentuh hati Kamarul Azim apabila melihat rakaman Dora tercegat di depan pintu dengan wajah sayu seolah menanti kepulangannya dan isteri.

Bagaimanapun, Kamarul Azim bersyukur kerana Dora dalam keadaan baik selepas dia kembali ke rumah.

"Jadi, saya saja kongsi gambar hasil CCTV itu di TikTok kerana sebelum ini pun memang ada muat naik video Dora secara rawak untuk simpan sebagai kenangan.

"Tak sangka pula boleh tular dan melihat ruangan komen, ramai cadangkan saya pelihara kucing lain sebagai peneman buat Dora.

"Tapi ada juga yang kecam tindakan saya biarkan Dora di rumah sendirian namun saya terima saja kerana ada rezeki nanti memang nak tambah kucing peliharaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2024 @ 7:32 PM