Íssey
Íssey
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Alhamdulillah, Allah lindung anak saya," kata pelawak dan penyampai radio, Issey susulan insiden kereta dipandu seorang lelaki mengundur dalam keadaan laju dan melanggar kanak-kanak perempuan di Jalan Eco Grandeur 1/8, Bandar Puncak Alam, Kuala Selangor, semalam.

Issey, 36, atau nama sebenarnya Fazlisham Mat Hussin berkata, anak bongsunya, Faeeq Fathian, 2, nyaris menjadi mangsa dalam kejadian itu.

"Ketika kejadian isteri saya, Noor Aimi Jamel, anak saudara, Alieya Erissha, anak perempuan, Umaira yang baru pulang dari sekolah dan anak bongsu, Iyyen berada di dalam kedai barang kucing.

"Kebetulan, anak bongsu tarik tangan anak saudara pergi tengok kucing di bahagian depan pintu masuk kedai. Sekelip mata, tiba-tiba kereta langgar. Dengan pantas anak saudara tarik anak saya. Masa tu, anak saudara tak perasan ada seorang lagi kanak-kanak (mangsa) di situ. Mujur hanya mengalami kecederaan ringan," katanya.

Menurutnya, dia bergegas ke lokasi kejadian selepas dihubungi anak saudaranya.

"Sewaktu dapat panggilan dan dimaklumkan kejadian itu, saya baru sampai di rumah. Memang terkejut dan berderau juga jantung. Saya segera ke sana dan polis pun baru sampai di lokasi.

"Saya terus masuk dalam kedai dan bagi mendapatkan keluarga. Apabila tengok semua okay, saya lega dan bersyukur.

"Tapi biasalah, isteri dan anak-anak trauma. Anak bongsu tu diam dan senyap saja. Dia tak bermain dah. Kalau tak dia memang jenis aktif. Saya sempat jumpa pemilik kedai. Dengan pemandu saya tak dapat borak panjang sebab polis sedang jalankan siasatan," katanya.

Terdahulu, tular di laman sosial video kamera litat tertutup (CCTV) memaparkan sebuah kereta melanggar seorang kanak-kanak dan pintu hadapan sebuah premis.

Dalam kejadian 6.40 petang itu, lelaki berusia 30-an terbabit memandu kereta Hyundai Elantra turut melanggar pintu hadapan kedai menjual makanan binatang.

Berikutan kemalangan itu, kanak-kanak berkenaan cedera ringan dan menerima rawatan di Hospital Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam sebelum dibenarkan keluar, 8.30 pagi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2023 @ 4:46 PM