Nor Amalina Alias


Bachok: Hikmah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dua beradik menjadi penternak dan pembekal daging arnab dan berjaya menjana pendapatan ribuan ringgit.

Kamaruzaman Mohd Asri, 35 dan adiknya Kamarul Bahrin, 24, bermula dengan hanya 11 ekor arnab dan kini sudah mempunyai 150 ekor arnab termasuk 35 induk betina.

Kamaruzaman berkata, segalanya bermula pada Mac lalu apabila pendapatannya sebagai penanam dan penjual nanas dan tembikai terjejas akibat PKP.

Menurutnya, dia mula mencari peluang pendapatan baru di internet dan laman sosial sebelum tertarik dengan pekerjaan menternak arnab spesis New Zealand White sebagai haiwan pedaging.

"Kami mula dengan modal sendiri kira-kira RM1,500 untuk beli arnab, buat sangkar kecil di belakang rumah dan mampu jual 25 ekor dalam tempoh singkat.

"Tak sangka permintaan untuk daging arnab sangat berpotensi tinggi, kini kami turut menternak arnab untuk daging dan jual induk (ibu) untuk penternak lain," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pak Simpul, Pak Badol, di sini.

Kamaruzaman berkata, daging arnab dijual selepas haiwan itu mencapai usia sekurang-kurangnya dua bulan dan berat dua kilogram ke atas.

"Dagingnya dijual antara RM28 hingga RM30 sekilogram dan biasanya dimakan untuk menu berbeku dan dibuat satay," katanya.

Adiknya, Kamarul berkata, setakat ini mereka memasarkan daging arnab ke Kelantan, Terengganu dan Kuala Lumpur.

Dia yang baru menghabiskan pengajian Kejuruteraan Mekanikal di Politeknik Kota Bharu berkata, perniagaan itu memberi peluang pendapatan buatnya yang baru tamat belajar di samping sukar mendapatkan pekerjaan di musim wabak pandemik ini.

KAMARUZAMAN Mohd Asri (depan) bersama adik-adiknya, Kamarul Bahrin dan Nurhuda menunjukkan arnab yang dipelihara mereka. FOTO Nor Amalina Alias
KAMARUZAMAN Mohd Asri (depan) bersama adik-adiknya, Kamarul Bahrin dan Nurhuda menunjukkan arnab yang dipelihara mereka. FOTO Nor Amalina Alias

Menurutnya, mereka masih memerlukan bantuan seperti bangsal yang lebih lengkap dengan kemudahan infrastruktur, sarang dan bumbung untuk teduhan haiwan ternakan di kawasan seluas 0.2 hektar di belakang rumah mereka.

"Menjaga arnab yang mencabar adalah kawalan penyakit kurap dan pemilihan dedak yang sesuai, sebab kalau tak sesuai, arnab akan alami cirit-birit dan berisiko mati, jadi kami akan berusaha pelajari kaedah menternak dengan jabatan yang berkaitan supaya perniagaan ini dapat dikembangkan lagi," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2020 @ 10:27 AM