GAMBAR kenangan terakhir bersama arwah atuk
GAMBAR kenangan terakhir bersama arwah atuk
Oleh Muhammad Hafiy Dinie Mohammad Norzairi

1 Syawal 2017

"Allahu akbar Allahu akbar Allahu akbar…" Takbir raya dari masjid berdekatan mengejutkan aku daripada tidur.

Aku ambil tuala tersangkut di pintu dan bergegas ke bilik air untuk mandi. Dalam perjalanan aku ke bilik air, ibu yang berada di dapur memanggilku.

"Adik, cepat la pergi mandi tu. Nanti lambat pula pergi masjid," Aku hanya mengangguk. Mataku tertumpu kepada air yang sedang ibu bancuh. Air sirap bandung. Melihat air sirap bandung, pasti aku teringat kisah yang terjadi pada puasa tahun ini.

15 Ramadan 2017

"Adik…oh adik. Nanti berbuka buatkan air sirap bandung untuk atuk boleh? Atuk teringin minum air bandung yang adik buat. Sedap sangat." Aku tersenyum lebar.

"Boleh atuk. Untuk atuk, semua boleh." Siapa je tak suka bila orang puji apa yang kita buat. Aku segera ke dapur mencari bahan membancuh air itu. Alamak! Sirap pula habis. Aku segera ajak ayah ke kedai beli sirap dan barang-barang lain. Disebabkan aku terlampau leka melihat bahan bacaan di toko buku, aku dan ayah balik lewat dan jalan sudah mula sesak dengan orang yang baru balik kerja.

Tiba-tiba, ayah mendapat panggilan dari nenek. Nenek beritahu ayah yang atuk sekarang berada di hospital wad kecemasan kerana kesesakan nafas.

Tiba sahaja di rumah, ayah bergegas berbuka puasa ala kadar sahaja.

"Adik, duduk rumah elok-elok tau. Ayah nak pergi tengok atuk ni."

Aku hanya terdiam dan masuk ke bilik. Keesokan harinya, ayah yang baru sahaja pulang dari hospital datang memelukku.

"Adik, atuk dah tak ada." Aku senyap. Air mata mula gugur. Dalam hatiku asyik berfikir, "Ini semua salah aku ke? Kalau aku tak duduk kat kedai tu lama-lama mesti dapat jumpa atuk."

 

2024

   

Raya tahun ini bakal menjelma. Kini, hampir tujuh tahun aku beraya tanpa atuk disisi. Semenjak atuk meninggal, setiap kali hari raya aku mesti akan membancuhkan air sirap bandung untuk dihidangkan kepada keluarga dan tetamu bagi mengingati atuk. Atuk, dirimu nun jauh di sana, namun dirimu tetap dekat dihatiku.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 April 2024 @ 8:00 AM