YANG Di Pertua Persatuan Veteran Tentera Tidak Berpencen (PVTTB) negeri, Alias Abd Wahab (kanan) beramah mesra dengan Muhammad Adam Mikail Abdullah, 8, (kanak-kanak OKU) sambil diperhatikan oleh Mohamad Nor Jantan, 59, (tengah) ketika kunjungan ke rumahnya di Kampung Datuk A, Bukit Rambai. FOTO Zairee Mohd Yasak
YANG Di Pertua Persatuan Veteran Tentera Tidak Berpencen (PVTTB) negeri, Alias Abd Wahab (kanan) beramah mesra dengan Muhammad Adam Mikail Abdullah, 8, (kanak-kanak OKU) sambil diperhatikan oleh Mohamad Nor Jantan, 59, (tengah) ketika kunjungan ke rumahnya di Kampung Datuk A, Bukit Rambai. FOTO Zairee Mohd Yasak
Zairee Mohd Yasak


SELEPAS enam tahun ditinggalkan, dua beradik lelaki rayu ibu kandung pulang, apatah lagi datuk angkat yang menjaga mereka dalam keadaan uzur.

Pada usia 10 tahun, Muhammad Mukriz Rusaidi Abdullah cukup matang melihatkan keadaan datuk angkat Mohamad Nor Jantan, 59, yang kini tidak sihat sehingga tidak mampu berkerja, ditambah dengan beban menjaga dia dan adiknya Muhammad Adam Mikail Abdullah, lapan tahun, yang menghidap penyakit Cerebral Palsy sejak berusia lapan bulan.

Justeru, dalam keadaan sukar, Muhammad Mukriz Rusaidi sendiri membantu datuk angkatnya menguruskan adiknya yang turut mengalami masalah usus.

Muhammad Mukriz Rusaidi yang mesra dengan panggilan abang, bagaimanapun menagih kasih sayang ibu mereka Norhidayah Ahmad, 28, untuk pulang membantu meringankan beban yang ditanggung datuk angkatnya yang uzur selain terpaksa menguruskan Muhammad Adam Mikail yang lumpuh.

“Mak baliklah lepas tu duduk sini, jaga adik. Lepas tu, tolong masak, menyapu, jaga atuk. Kesian kat atuk sebab tak dapat pergi kerja.

"Bila atuk dah boleh pergi kerja, ada duit untuk beli makanan dan barang-barang kita," katanya, ketika dikunjungi badan bukan kerajaan (NGO), Yang Di Pertua Persatuan Veteran Tentera Tidak Berpencen (PVTTB) negeri, Alias Abd Wahab, di Kampung Datuk A, Bukit Rambai, di sini, semalam.

Menurut Alias, keluarga terbabit akan dipindahkan sementara ke rumah adik ipar Mohamad Nor yang tinggal berhampiran, sebaik proses penilaian dan kerja baik pulih rumah keluarga terbabit di antara Rejimen Askar Jurutera DiRaja (RAJD) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dimuktamadkan dalam masa terdekat, bagi membolehkan kerja baik pulih dijalankan segera.

Timbalan Ketua Wanita PKR Pusat, Haniza Talha dan Naib Ketua Wanita PKR, Dr Daroyah Alwi turut menyertai kunjungan itu selepas mengetahui kisah penderitaan keluarga Mohamad Nor yang disiarkan Harian Metro pada Ogos lalu.

Sementara itu, Mohamad Nor berkata, dia mengikut apa sahaja yang perlu demi keselamatan mereka, memandangkan rumah yang didiaminya sejak 24 tahun lalu tidak lagi selamat diduduki akibat serangan anai-anai, terutamanya di bahagian bumbung rumah terbabit.

"Saya semakin risau memikirkan nasib kami apabila jurutera yang datang hari itu, memberitahu rumah saya dah rosak teruk dimakan anai-anai. Memang tidur pun tak lena memikirkan keselamatan kami, terutama dua cucu ini.

"Bagaimanapun, saya tetap bersyukur dan berterima kasih di atas bantuan semua pihak yang prihatin dengan nasib kami lebih-lebih lagi saya sendiri rasa buntu memikirkannya," katanya.

Tambahnya, sesukar mana kehidupan yang ditempuh, dia tetap berharap Norhidayah kembali ke pangkuan keluarga, demi mengubat kerinduan dua cucunya terhadap ibu kandung mereka.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 04401-41-00003231-5 atas nama Mohamad Nor Jantan atau menghubungi Alias Abdul Wahab di 019-667 4767.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 September 2018 @ 4:04 PM